Wanita perindu Allah

Wanita perindu Allah dapat mengawal rindunya pada dunia, kekayaan, kemewahan, pembaziran, kecantikan dan segala isi dunia. Wanita ‘abidah perindu Allah dapat mengubah nafsunya daripada nafsu-nafsu jahat kepada nafsu-nafsu yang baik melalui mujahadah. Yakni daripada nafsu marah kepada memaafkan, dengki kepada kasih sayang dan. Maka jadilah wanita ‘abidah itu bagaikan tiang negara yang menyangga sesebuah negara daripada runtuh.

Sebab itu Rasulullah bersabda :
Untuk menjadi wanita ‘abidah, perindu Allah, tidak semudah menjadi wanita berkerjaya yang cuma dilatih akalnya. Sedangkan wanita ‘abidah perlukan didikan fizikal, mental dan jiwanya sekaligus. Mereka bukan sahaja diperkenalkan dengan dunia, tetapi juga dengan alam barzakh dan alam akhirat. Bahkan juga dikenalkan dengan Allah swt.

Dunia amat perlukan wanita yang tidak lagi menurutkan nafsunya tapi memusatkan perhatian dan rindunya kepada Zat yang paling hampir dengannya dan terus-menerus mengawasi hidupnya, Yakni Zat Allah SWT
Sembahyang yang dilakukan merupakan pertemuan dan penyerahan dirinya secara total kepada Allah. Ia dirasakan terlalu indah dan amat bermakna. Setiap ucapan dihayati dan dilafazkan dengan penuh kusyuk. Rukun-rukun fi’li dikerjakan dengan komitmen jiwa yang penuh kehambaan. Dan perilakunya sewatu mengadap Allah, seolah-olah takut dan hormat sekali. Maka hasil daripada ucapan dan perbuatan dalam sembahyang, wanita ‘abidah mendapat rasa tawadhuk, tawakkal, rendah diri, takut, cinta, yakin, rindu dan kagum kepada Allah kekasihnya. Itulah iman dan taqwa.

Orang yang berakhlak sahaja yang boleh bahagia tatkala ditimpa ujian. Tanpa akhlak, tidak akan ada seorang pun manusia yang dapat merasa bahagia hidup di dunia.
Kerana, hidup ini memang tidak akan lepas daripada ujian. Siapa yang tidak bahagia dunia nescaya tiada harapan untuk bahagia di akhirat.

Gabungan rasa-rasa itu mencetuskan akhlak yang sangat agung; sabar, redha, penyayang, pemaaf pemurah, rendah diri dan lain-lain lagi. Akhlak-akhlak yang mulia ini lebih mahal daripada sijil dan harta-harta duniawi, sebab ia dapat mncegah daripada perbuatan keji dan mungkar .

Bila seseorang itu kenal akhirat dan Allah, dunia ini menjadi kecil baginya. Hidupnya tidak lagi untuk memburu dunia tetapi memburu syurga di akhirat. Mereka tidak lagi merindukan kenikmatan sementara tetapi mengalihkan rindunya kepada Allah swt. Umur dihabiskan untuk beribadat kepada Allah. Apa juga kerja yang dibuat, semuanya untuk dan kerana Allah. Dan itulah yang Allah minta untuk kita lakukan. Firman Nya:
“Dunia ialah perhiasan. Sebaik-baik hiasan ialah wanita solehah.”

“ Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan seru sekalian alam. ”

0 ulasan  

Syarat Wajib Haji dan Umrah

Syarat-syarat wajib haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu "

* Islam
- tidak wajib atas orang kafir dan murtad
* Baligh
- tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh
* Berakal
- tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya
* Merdeka
- Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala
* Berkuasa / Kemampuan
- Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

" Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka"
(Surah Ali Imran ayat 97)

Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah berkuasa kepada dua bahagian:-

a) Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri; dan

i) Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir.
ii) Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya,
iii) Ada kenderaan pergi dan balik,
iv) Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada marabahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,
v) Sihat tubuh badan,
vi) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

"Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w ditanya " Apakah yang dimaksudkan dengan "sabil"? Rasulullah s.a.w. menjawab: " Bekalan dan perjalanan"
Riwayat- Daruqutni

b) Berkuasa dengan bantuan orang lain.

i) Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya.

ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.

Dalam masalah mengerjakan haji untuk orang lain atau upah haji ini, Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Dari Laqit bin Amir r.a bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: " Bahawa bapa saya seorang yang telah tua, tidak berdaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah" Rasulullah s.a.w. bersabda : " Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya sekali".
Riwayat - Abu Daud dan Tarmizi

Syarat - Syarat Wakil atau Orang Mengambil Upah Haji

Syarat-syarat untuk menjadi wakil atau mengambil upah menunaikan haji orang lain ialah:-

1. Orang itu telah pun menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya, Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: " Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri" ? Jawab lelaki itu, "Belum". Rasulullah s.a.w berkata kepadanya, kalau begitu hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dahulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula" (Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)

2. Hendaklah melakukan fardu haji untuk seorang sahaja bagi satu musim haji.

3. Mestilah berihram pada miqat orang yang dihajikan itu atau pada tempat yang sama jauhnya dengan miqat itu. Jika ditentukan kepadanya, maka hendaklah dia berihram pada sesuatu miqat yang ditentukan, jika tidak ditentukan, maka haruslah bagi orang yang mengambil upah itu berihram pada miqat yang dilaluinya. Bagi orang yang berada di Mekah yang mengambil upah haji, maka wajiblah dia keluar kepada miqat yang dihajikannya, atau boleh juga pada mana-mana miqat yang lebih hampir kepadanya. Jika dia berihram daripada miqatnya (di Mekah) nescaya berdosa dan wajib atasnya dam.

4. Hendaklah seorang yang cukup mahir bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan sempurnanya, seperti dia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.

Sumber : http://www.al-azim.com/

0 ulasan  

Sukan Islam wajar dipopularkan

Semua kita sedia maklum akan kepentingan sukan untuk kesihatan. Apa yang mengekang penglibatan umat Islam terutamanya wanita dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah kod pakaiannya yang tidak menutup aurat.
Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah... (riwayat Muslim)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HAYAT SUEET menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd. Nasir bagi mengupas isu ini.

UM: Apakah hukum bersukan dalam Islam?

DR. BADLIHISHAM: Dalam Islam, sukan adalah harus dan digalakkan. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. Antaranya, ajarkan anak-anak kamu memanah dan menunggang kuda. Dalam hadis yang lain, baginda turut menyebut tentang berenang.

Mengikut sejarah Islam, Dr. Ahmad Shalaby membahagikan sukan kepada dua iaitu yang melibatkan pergerakan tubuh badan seperti berlari dan berenang. Kategori kedua ialah yang membabitkan mental seperti catur, sahibba dan karom.

Baginda juga pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.

Dalam peristiwa lain, Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, saidatina Aishah. Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.

Kejayaan Ruqaya Al Ghasara dalam Sukan Asia di Doha tahun lalu membuktikan pakaian menutup aurat bukan penghalang kejayaan dalam sukan. Apakah langkah yang patut diambil oleh pengeluar fesyen tempatan dalam hal ini?

DR. BADLIHISHAM: Masyarakat kita pada amnya sudah melepasi fobia takut dengan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam. Kita telah melalui fasa kaget ini apabila berjaya memperkenalkan Bank Islam dulu. Masyarakat kita kini secara amnya telah terdedah dengan pendekatan dualisme.

Perkembangan dalam Sukan Asia 2006 itu perlu diambil peluang oleh pengeluar fesyen tempatan. Mereka wajar merebut peluang ekonomi ini dengan menghasilkan pakaian menutup aurat untuk manfaat masyarakat Muslim terutama wanita bersukan.

Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan hasrat ini.

Dalam masa yang sama, para penyelidik dan pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengkaji secara mendalam supaya menghasilkan pakaian yang bukan sahaja menutup aurat tetapi dari segi saintifiknya tidak menjejaskan mutu larian.

Sukan kini mengandungi nilai ekonomi dan hubungan sesama manusia. Bagaimana umat Islam boleh memanfaatkan hal ini untuk berdakwah?

DR. BADLIHISHAM: Sememangnya sukan kini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Islam sebagai agama yang lengkap meraikan unsur ekonomi bagi pembangunan manusia. Namun ia masih mengandungi unsur syubhat dari segi penontonnya yang bercampur lelaki dan perempuan serta dasar sukan yang berkiblatkan Barat.

Ini mendatangkan masalah besar kepada umat Islam untuk bergiat serius dalam sukan, di samping kelemahan memajukan bidang sukan. Bagaimanapun, umat Islam yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati diri. Jangan hanya mengikut acuan Barat.

Dalam semua keadaan, ibadat wajib seperti solat dan puasa perlu ditunaikan walaupun bagi atlet yang bertanding di peringkat Olimpik sekali pun.

Dari segi dakwah, sukan boleh membantu. Contohnya, kejayaan cemerlang petinju terkenal Muhammad Ali sedikit sebanyak menaikkan moral orang Islam di dunia. Beliau kini melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan dalam Nations of Islam di Amerika.

Dari segi dakwah di Malaysia, sukan boleh digunakan sebagai ice breaker bagi menyelami kehidupan mad’u dengan lebih mendalam. Pengalaman jabatan saya di perkampungan orang asli membuktikan hal ini. Kita berjaya merapatkan jurang antara peserta dan penduduk kampung melalui sukan bola sepak dan sukaneka.

Ada umat Islam apabila bersukan lupa akan batas aurat dan pergaulan dengan bukan mahram. Bagaimana hendak membetulkan keadaan ini?

DR. BADLIHISHAM: Batas aurat lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu sentiasa dijaga. Kecuali kita meliberalkan asas atau prinsip itu demi kononnya mencapai matlamat sukan yang dikehendaki dunia moden kini.

Justeru, kita memerlukan gabungan kepakaran antara para atlet dengan alim ulama bagi mengharmonikan dua jurang yang besar dalam perkara ini.

Persoalan yang mungkin wajar diberi perhatian ialah adakah perlu diasingkan kedudukan penonton lelaki dan wanita. Adakah perlu dibataskan acara renang wanita kepada kaum wanita sahaja?

Dalam peristiwa Nabi Muhammad berlumba lari dengan Aishah, secara logiknya ia dilakukan di kawasan terbuka. Ia mungkin disaksikan orang ramai kerana yang berlari itu adalah Rasulullah. Tetapi logik ini perlu diimbangi dengan prinsip yang menitikberatkan soal akhlak dan lain-lain.

MSN boleh memainkan peranan dalam hal ini dengan turut menitik beratkan pembinaan dan pelaksanaan polisi sukan menurut Islam.

Sebagai sebuah negara Islam, sudah tiba masanya Malaysia mempelopori temasya sukan berlandaskan adab Islam. Apa pandangan Dr?

DR. BADLIHISHAM: Kita seharusnya mengambil peluang ini. Sebabnya negara kita terbukti hebat dan berjaya menganjurkan pelbagai persidangan mahu pun sukan peringkat antarabangsa.

Islamnya sesuatu pertandingan itu bukan diukur dari menutup aurat tetapi juga harus dilihat dari mengekang aspek pembaziran dalam mengendalikan sukan.

Buat permulaan, Jakim sekali lagi perlu mempelopori dari segi menyediakan polisi adab sukan menurut Islam. Mungkin kerajaan boleh menganjurkan seminar melibatkan ahli-ahli sukan, MSN dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Antara tokoh yang boleh dilibatkan ialah seperti bekas wanita besi negara, Zaiton Othman dan Prof. Datuk Dr. Khoo Kay Kim mewakili bukan Islam.

Kita perlu menggerakkan usaha ini supaya umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri. Ini penting agar kita tidak terus dikongkong dalam kerangka sukan yang dipelopori oleh Barat. Ingatlah pesanan Rasulullah dalam hadisnya, Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah mereka sebelum kamu sejengkal-sejengkal dan sehasta-sehasta. Sehingga kalau mereka memasuki lubang biawak, kamu akan ikut sama. Kata kami (sahabat), wahai Rasulullah! Adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Sabdanya, siapa lagi? (riwayat Syaikhan)

Bagaimana pula kedudukan kesederhanaan dalam bersukan?

DR. BADLIHISHAM: Pertamanya, jangan meletakkan sukan sebagai segala-galanya. Ini bercanggah dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam yang meminta takrifan sederhana itu dilihat dari kaca mata Islam itu sendiri.

Dalam melaksanakan apa juga yang dibenarkan dalam Islam, kita hendaklah meletakkan hukum mengatasi segala-galanya.

Kita juga jangan terlalu taksub dengan sukan. Jangan meniru perlakuan ganas yang sering ditunjukkan oleh penyokong bolasepak England.

Sesuai dengan matlamat sukan untuk menyihatkan badan, jangan kita mengambil barang larangan termasuk dadah seperti steroid. Atlet atau pemain juga perlu mengelak daripada terlibat dalam rasuah.

Bolasepak negara misalnya masih belum mencapai tahap kegemilangan seperti pada zaman Allahyarham Mokhtar Dahari walaupun kini para pemain diberi pelbagai insentif dan elaun yang tinggi.

Akhirnya, dalam setiap perlakuan atau detik hidup ini jangan kita lupa tanggungjawab kepada Allah. Sukan adalah wasilah atau mekanisme bukan matlamat

p/s : sama-sama kita ambil manfaat dan berfikir secara waras...

0 ulasan  

Yang salah penjahat, bukannya purdah

Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar. Demikian laporan akhbar harian semalam (Syeikh Tantawi haramkan purdah ke Universiti alAzhar).

Hari ini seorang anggota Parlimen Mesir pula dikatakan meminta Sheikh Tantawi meletakkan jawatannya selepas tegurannya kepada seorang pelajar berpurdah.

Akhbar juga melaporkan MB Kelantan, Tok Guru Nik Aziz bersedia haramkan purdah di Kelantan jika perlu, benarkah?

Saya melihat isu ini dari beberapa aspek:

Pertama, berpurdah khilaf di kalangan ulama, ada yang mewajibkannya. Majoriti ulama mengatakan yang wajib ditutup ialah muka dan tapak tangan. Ada ulama yang mengatakan, jika seorang perempuan berpurdah, bererti ia telah mengambil pendapat terbaik dan keluar dari khilaf ulama. Sementara perempuan yang menutup auratnya dengan betul kecuali muka dan tapak tangan, bermakna ia telah berpegang kepada pendapat majoriti ulama. Realiti yang berlaku di kalangan majoriti wanita ialah mereka yang berpakaian tetapi telanjang. Menutup aurat tidak pernah sempurna. Ulama sepatutnya memfokuskan kepada ramai wanita yang seperti ini, bukannya yang berpurdah.

Kedua, jika isunya ialah isu keselamatan, maka sepatutnya langkah yang diambil ialah dengan menggunakan teknologi canggih melalui alat pengesan bom, alat pengimbas x-ray dan lain-lain cara. Tidak perlu mengharamkan purdah secara total. Pelajar perempuan yang memang dikenali di pusat-pusat pengajian, di dalam kelas, adakah mereka itu membawa bom dan senjata? Lalu mereka dihalang dari memakai purdah?

Lainlah kalau tempat itu tempat awam misalnya. Isu keselamatan kritikal di situ, bolehlah dilarang purdah di tempat tersebut, tetapi sebenarnya kawalan keselamatan masih boleh dibuat melalui teknologi canggih. Kalau mahu dikira, bom dan lain-lain boleh disembunyikan dalam kot, dalam baju biasa. Justru, kot dan baju biasa pun nampaknya perlu diharamkan. Yang tinggal ialah dengan berseluar dalam. Dalam seluar dalam pun boleh disembunyikan bom. Jadi seluar dalam pun perlu diharamkan. Apa lagi yang tinggal?

Ketiga, saya pernah mendengar lama dahulu tentang beberapa kenyataan Sayid Tantawi ini yang menjadi kontroversi kepada umat Islam, bukan sahaja di Mesir tetapi di tempat lain.

Keempat, berpurdah biasanya datang dari hati seorang wanita yang mahukan privasi untuk dirinya. Dia merasakan dirinya cukup selamat dengan pakaian itu. Saya tahu perkara ini kerana isteri saya berpurdah. Jangan cuba sekat privasi wanita ini. Kalau mahu sekat, sekatlah mereka yang berpakaian tetapi bertelanjang di hadapan orang lain. Mereka tidak menjaga privasi diri sendiri dan keharmonian bermasyarakat.

Kelima, kenyataan MB Kelantan, saya berharap bahawa apa yang diucapkannya lain dari yang difahami oleh wartawan seakan-akan memperlihatkan Tok Guru anti-purdah. Ramai pelajar perempuan di Kelantan yang saya rasa berpurdah. Mereka selesa demikian. Diri terasa lebih selamat dari mata yang jahat. Purdah tidak jahat, yang jahat ialah orang yang jahat.

Rujukan : Ust Nik Nasri

5 ulasan  

Kelebihan Puasa 6 Syawal

Abu Ayyub al-Ansari r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun." (Riwayat Muslim)

Imam Ahmad dan an-Nasai'e meriwayatkan dari Thauban, Nabi SAW telah bersabda: "Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 tahun, sedangkan puasa 6 hari di bulan Syawal, (pahalanya) sebanding dengan puasa 2 bulan, maka itulah bagaikan berpuasa setahun penuh." (Hadis Riwayat Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Diriwayatkan dalam suatu kisah apabila Rasulullah SAW bersama para Sahabat r.a sedang berada di dalam masjid, ketika sedang Rasulullah SAW mengajarkan ilmu agama kepada para Sahabat, tiba datang seorang perempuan yang amat cantik jelita berjumpa Rasulullah SAW. Kecantikkan perempuan tersebut menyebabkan semua sahabat berpaling ke arahnya. Kemudian, perempuan tersebut menyatakan hasrat agar Rasulullah SAW mengahwinkan dia dengan salah seorang daripada sahabat-sahabat Baginda SAW, tetapi dengan 3 syarat.

Syarat pertama ialah bakal suaminya itu tiap-tiap malam mesti mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzu'. Syarat kedua pula, setiap hari suaminya itu hendaklah sentiasa mendirikan ibadat sepanjang malam, dan syarat ketiga ialah suaminya hendaklah berpuasa setiap hari sepanjang tahun. Maka dengan syarat ini, sahabat-sahabat Nabi SAW yang memiliki hasrat untuk berkahwin dengan perempuan tersebut hilang rasa keinginan itu. Nabi SAW pun menawarkan kepada para sahabat siapa yang sanggup berkahwin dengan perempuan ini. Akhirnya sahabat yang berada jauh ke belakang sanggup berkahwin dengan perempuan tersebut dengan menunaikan ketiga-tiga syarat tersebut.

Setelah sahabat tersebut berkahwin dengan perempuan yang cantik jelita itu berbulan-bulan lamanya, akhirnya perempuan itu melihat suaminya itu, semakin hari semakin kurang membaca al-Quran, kurang beribadat pada waktu malam, kurang berpuasa. Lalu dia pun pergi berjumpa Rasulullah SAW menceritakan hal suaminya yang telah mengingkari janjinya. Lalu Rasulullah SAW memanggil sahabat tersebut dan bertanyakan kenapa dia tidak menunaikan janjinya ketika mula-mula ingin mengahwini isterinya itu.

Lalu, sahabat tersebut menyatakan Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah menyatakan bahawa pahala membaca Surah Qul Huwallahu Ahad satu kali menyamai pahala membaca 10 juzu' daripada al-Quran? Jadi aku membacanya sebanyak 3 kali. Rasulullah SAW menjawab: Ya.

Kemudian, Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah menyebut bahawa dengan membaca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, maka pahalanya menyamai ibadat sepanjang malam? Rasulullah menjawab: Ya.

Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah bersabda bahawa Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun? Rasulullah menjawab: Ya. Dengan ketiga-tiga jawapan sahabat tersebut, Rasulullah SAW dan isterinya meraikannya dengan senyuman kesyukuran.

0 ulasan  

Syaitan masih berkeliaran di bulan Ramadhan?

Dari Abi Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda, maksudnya: ‘Apabila masuknya malam pertama dari bulan Ramadhan, syaitan dan jin yang ganas dibelenggu. Pintu neraka ditutup, Tidak dibuka satupun darinya. Pintu syurga dibuka. Tidak satupun darinya ditutup.

Ada satu seruan: ‘Wahai orang yang mencari kebaikan! Berhadaplah ke mari. Wahai orang yang mencari kejahatan! Henti hentilah (perkara jahat kamu itu). Bagi Allah itu ada hamba-hamba yang dimerdekakan. Demikian itu pada setiap malam.’ Riwayat at-Tirmizi

Ringkasan:

Imam Nawawi menyebut jin syaitan ini dibelenggu kerana menghalang mereka dari menyakiti orang mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Belenggu itu boleh jadi hakiki (sebenar) atau majazi (simbolik).

Al-Qadhi Iyadh menyebut: Boleh jadi Allah membelenggukan syaitan itu dengan rantai dan belenggu dengan sebenarnya, bukan ia majazi atau secara simbolik sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyakiti mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Boleh jadi juga ia adalah simbolik. Allah jadikan mereka itu lemah dari menipu-daya mukmin dalam bulan puasa ini hingga jadi kuranglah tipu-dayanya. Maka jadilah mereka itu seolah-olah dibelenggu. Belenggu juga dengan makna mereka tidak dapat menipu sebahagian mukmin dan sebahagiannya dapat ditipunya. Sebahagian perkara dapat ditipu dan sebahagiannya tidak. Ini semua bermaksud membesarkan bulan Ramadhan itu.

Berkenaan pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka, Imam Nawawi menyebut bahawa ia boleh jadi hakiki atau majazi juga. Ertinya apabila masuk bulan puasa itu, Allah buka jalan taat yang banyak kepada hambaNya, yang tidak ada di bulan selain Ramadhan seperti berpuasa, berjaga malam dan pelbagai kebajikan yang lain. Maka itulah yang menjadikan sebab masuk syurga dan seolah-olah itulah pintunya.

Berkenaan seruan itu pula, ia tidak didengari oleh manusia. Namun Allah tidak membiarkan begitu sahaja. Allah memberitahu Nabinya tentang seruan tersebut. Diwakilkan kepada Malaikat menyeru pada setiap malam puasa memanggil hamba-hambaNya untuk berbuat taat dan menjauhkan maksiat.

Allah memerdekakan hambaNya dari neraka dengan sebab ketaatan yang dibuat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab mengesakan Allah. Ada yang dimerdekakan dengan sebab solat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab puasa. Pemerdekaan dalam bulan puasa ialah dengan sebab pahala puasa dan berkatnya.

(Ringkasan Bahr al-Mazi j3 ms 3-6)

0 ulasan  

Darihal puasa, iman dan ketaqwaan

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43.
"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.
Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.
Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.
Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.
Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)
Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

"Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat).." (Al-Hasyr: 18)
Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)
Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.
Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.
Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.
Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.
Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

0 ulasan  

Nisfu Sya'ban

Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).

Di negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari dahulu lagi.

Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan sebagainya.

Ada fatwa ulamak kontemporari yang mengatakan perbuatan ini tiada asal dan bid'ah lagi haram. Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut

Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil.

Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:

* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

Sedikit tambahan lagi:

Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.

Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.

Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.

Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.

Wallahu A'lam
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Syed Abd Kadir Al-Joofre

Sumber : http://www.infokpt.com/

0 ulasan  

Lelaki ramai masuk neraka?

Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.

Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.

Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah 'Ashabun Nar' (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan 'dayus', peminum arak dan anak-anak derhaka.

Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.

Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka.

Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.

Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Sayidina Ali k.w. berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"
Baginda s.a.w. menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."

Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

"Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. "Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

"Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

"Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.
"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

"Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.
"Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."
Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."
Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)

Sumber: Ustaz Zainudin Hashim

0 ulasan  

Friendster

Sebab utama saya meninggalkan Friendster adalah demi menjamin kualiti sebuah ikatan persahabatan. Bagi saya, Friendster membuatkan saya kurang menghargai rakan-rakan, sama ada yang dekat atau jauh, yang mengelilingi diri saya. Sejak zaman turunnya Nabi Adam dari syurga, dan sejak manusia buat kali pertama tinggal di atas muka bumi, ikatan persahabatan tidak berfungsi seperti hari ini.

Di zaman mereka, persahabatan bermakna pertemuan dan perpisahan. Kadang-kala perpisahan itu ada pertemuannya sekali-sekala, dan kadang-kala terus lesap macam asap. Persahabatan hari ini, yang dibantu dengan teknologi Friendster menjadikan erti persahabatan itu sebagai sebuah pertemuan (dan sebuah pertemuan), dan tiada perpisahan. Akibatnya, persahabatan menjadi online 24 jam, 7 hari seminggu, walaupun seorang di benua Amerika, dan rakannya itu pula di benua Asia.

Bagi saya perpisahan (atau lama tak jumpa dan tahu khabar) menjadikan saya menghargai rakan-rakan yang ada. Saya dapat merasakan perbezaan ketara apabila bertemu dan berbual di dunia nyata dengan rakan yang ada di dalam senarai Friendster saya berbanding rakan yang tiada Friendster. Borak saya dengan rakan bukan Friendster, yang lama tidak berjumpa, adalah lebih bermutu dan menyeronokkan. Ini memandangkan saya tidak tahu langsung apa-apa tentang perkembangan dirinya. Jadi perbualan akan lebih menarik. Dan inilah dia persahabatan! Kamu bertemu, kamu berpisah, dan kemudian kamu bertemu lagi untuk bersembang hal-hal menarik sepanjang kamu berpisah.

Kalau kamu sudah tahu bahawa rakan kamu sudah berkahwin dan sudah ada anak, dan anda tahu berita gembira ini hanya dengan melihat profil Friendsternya, apakah tidak pelik dan janggal untuk bertanya kepadanya apabila bersua muka di alam nyata, "Eh, engkau dah kahwin ke?" Saya rasa tidak seronok mengetahui berita tentang rakan saya hanya dengan melihat profil dan gambar-gambar yang diletakkan di profil mereka. Memang faedahnya kita akan dapat mengetahui perkembangan terkini sahabat handai, tetapi adakah PERLU bagi kita untuk mengetahui perkembangan mereka pada setiap bulan, atau pada setiap minggu, atau pada setiap hari, atau pada setiap jam? Adakah perlu? Dan adakah ini menjamin kualiti dalam persahabatan?

Kualiti Persahabatan
Saya berpendapat persahabatan begini kurang kualitinya. Saya lebih rela lama tidak berjumpa kawan yang saya ada dan kemudian tiba-tiba berjumpa mereka 10 tahun di akan datang. Ini lebih menarik dan mengujakan. Berjumpa kawan, sama ada yang jauh atau dekat, tiap-tiap hari di Friendster adalah sesuatu yang sangat membosankan. Ada orang berhujah bahawa sebab utama dia menyertai Friendster adalah untuk mencari semula kawan-kawan lama.

Memang betul. Friendster meningkatkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan teman-teman lama. Selalunya, apabila mereka bertemu kembali dengan kawan lama di Friendster, mereka akan berasa sangat-sangat terkejut, terkesima, dan teruja. Ada juga rasa riang di dalamnya. Kemudian mereka saling bertukar-tukar testimonial dan mesej dengan sangat kerap.

Namun, kekerapan ini semakin berkurangan apabila masa semakin menuju ke depan. Testimonial yang pada awalnya saling bertukaran 2 kali sehari, akhirnya bertukar kepada sebulan sekali, dan akhirnya 3 bulan sekali. Dan apabila masa semakin lagi bergerak, testimonial yang pada dulunya memiliki aroma seperti "Eh, bestnya jumpa kau. Apa cerita kau sekarang..bla..bla..bla.. (panjang sangat nak tulis)", akhirnya berubah menjadi "Eh, kau ni memang la. Takkan setakat lalu aje kat profile aku. Alang-alang dah lalu tu, bagi la testimonial".

Di samping itu, perkembangan sahabat lama kita akhirnya tidak lagi diberitahu in-person. Sebaliknya kitalah yang perlu membuka profil mereka untuk mengetahui apa cerita mereka sekarang. Sounds familiar? Percayalah, dengan tidak memiliki Friendster, anda pasti akan menemui sesuatu yang lebih menarik dan mengujakan dalam setiap ikatan persahabatan yang terjalin.

Ketika ibu saya kecil, dia memiliki seorang rakan baik. Namun demikian, mereka berdua telah berpisah. Pada satu hari, kira-kira 40 tahun kemudian, ibu saya mendapat panggilan telefon dari seorang wanita. Wah, rupa-rupanya si pemanggil itu adalah rakan ibu saya sewaktu kecil! Dari mana dia dapat nombor telefon rumah saya, saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi, ada udang di sebalik batu rupanya.

Dia menelefon ibu saya untuk menjemput menghadiri kenduri kahwin anak lelakinya. Anak lelakinya adalah salah seorang anggota kumpulan rap yang sangat terkenal kira-kira 10 tahun dahulu (maaf saya rahsiakan nama kumpulan itu). Sebelum berlakunya kenduri kahwin itu, agak kerap juga ibu saya dan dia berbual di telefon. Selalunya dia yang akan menelefon ibu saya. Tetapi setelah perginya majlis itu, tidak pernah rasanya dia menelefon ibu saya. Apabila kakak saya kahwin pula, ibu saya menjemputnya datang, dan Alhamdulillah, jemputan itu berjaya ditunaikan olehnya.

Dan kemudian mereka berdua berpisah lagi. Sudah jarang menghubungi. Inilah persahabatan. Bertemu dan berpisah. Datang dan pergi.

Namun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Perpisahan bukan bermaksud terus melupakan. Sebab itu pepatah Melayu berpesan kepada para suami, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan". Orang tua-tua kita bukan menyuruh suami meninggalkan isteri di rumah untuk menggatal dengan perempuan lain. Sebaliknya, mereka menasihati suami supaya pergi jauh sekali-sekala dari rumah, dan apabila pulang, pasti akan terbit lebih rasa kasih sayang di antara suami dan isteri. Ini kerana jarak dan perpisahan akan melahirkan lebih rasa sayang di hati manusia. Maka, perpisahan juga akan menjadikan sebuah persahabatan itu lebih berkualiti.

Kesan Psikologi
Kesan psikologi komuniti sosial maya mungkin masih belum kita rasakannya. Setakat pengetahuan saya, masih tiada lagi sebarang kajian ilmiah untuk mengkaji kesan Friendster, MySpace dan sebagainya kepada psikologi manusia. Saya cuma berteori, kesannya hanya dapat kita lihat kira-kira 20 tahun dari sekarang. Friendster adalah sesuatu yang baru dan ia masih lagi dalam proses bertatih. Belum pun lagi mencecah separuh dekad usianya. Friendster semakin mendapat tempat di hati ramai orang. Semakin ramai orang yang lebih suka bersosial di Friendster dan Yahoo Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan fitrah manusia?

Kadang-kadang saya berasa aneh apabila melihat gelagat manusia yang begitu asyik melayan rakannya di komputer, sehingga rakan yang ada di sebelahnya dilayan acuh tak acuh (saya juga kadang-kala terjebak dengan perbuatan tak bagus ini). Pernah sekali saya memasuki bilik rakan saya. Di bilik itu ada 3 orang penghuni. Sebelum saya masuk, saya sangka tiada orang di bilik itu kerana senyap sunyi sungguh. Tiada suara manusia. Jika ada semut bersin, mungkin saya akan mendengar bersinan semut itu. Rupa-rupanya, masing-masing sibuk dengan internet, YM dan Friendster.

Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang ada di sebelah? Saya mahu sembang-sembang dengan mereka pun rasa teragak-agak memandangkan masing-masing sudah hanyut di internet. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk keluar sahaja setelah bertanya satu dua patah soalan yang dijawab secara sambil lewa.

Dari kesan psikologi yang lain, apa akan terjadi kira-kira 20, 30, 40 tahun dari sekarang, apabila banyak profil di Friendster yang menampilkan profil-profil orang yang sudah mati. Saya rasa, sesuatu yang agak depressing apabila melihat satu demi satu rakan-rakan Friendster kita meninggal dunia. Jika anda adalah rakan MySpace kepada mangsa pembunuhan bersenjata yang dilakukan oleh Cho Seung Hui di Virginia Tech, apa yang mungkin anda rasa sekarang?1

Membuang Masa
Masa juga menjadi sebab utama mengapa saya meninggalkan Friendster. Kebanyakkan orang memiliki alasan ini untuk meninggalkan Friendster. Seorang rakan saya, memberitahu bahawa semasa di zaman Friendsternya, secara purata dia menghabiskan 3 jam sehari melayari Friendster. Ya, 3 jam. Oleh kerana sehari ada 24 jam, maka dia menghabiskan 1/8 waktu hariannya di Friendster.

Saya pula dalam 1 jam sehari. Tapi apa yang saya dapat dalam 1 jam melihat profil sekian-sekian orang, yang kadang-kala tiada kaitan langsung dengan diri saya? Saya mungkin tidak mendapat dosa dengan melihatnya (belum tentu lagi), tapi saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang lagha dan tidak ada manfaat, baik bagi kehidupan dunia mahu pun akhirat. Kalau ada manfaat dunia, masih okay lagi, tetapi apabila saya memikirkan tiada langsung manfaat dunia dan akhirat, lebih bagus saya belajar buat roti canai.

Di dalam bab fiqh Islam, ada satu masalah furu' yang bersifat khilaf tentang hukum bermain catur. Para fuqaha berbahagi-bahagi pendapat tentang hukumnya. Pendapat majoriti fuqaha mazhab Hanbali adalah haram bermain catur, dan hukum haram ini adalah hukum paling kuat ataupun rajih di dalam mazhab Hanafi. Ada juga ulam
a yang mengelaskan hukum bermain catur sebagai jatuh dalam grey area. Malah ada juga ulama-ulama besar yang mengatakan harus hukum bermain catur. Dalam mazhab Shafi'i pula, hukum bermain catur tidaklah haram, cuma ia tidak digalakkan.2

Namun demikian, secara umumnya hukum pelbagai jenis yang dikeluarkan oleh para fuqaha itu ada melibatkan konsep masa. Ulama-ulama ini bimbang kalau-kalau umat Islam terlalu asyik dan leka bermain catur. Para ulama adalah golongan manusia yang benar-benar memahami dan menghargai nikmat masa yang Allah kurniakan ke atas kita. Bagi mereka, satu saat yang digunakan secara sia-sia akan membuatkan manusia menangis dan benar-benar menyesal di hari Akhirat nanti.

Bayangkan, bagaimana agaknya kalau para ulama yang mengeluarkan hukum bermain catur itu masih lagi hidup pada hari ini, dan kemudiannya mereka melihat pemuda-pemudi Islam menghabiskan banyak masa mereka di Friendster, MySpace, X-Box, PS3, anime, soap opera, Yahoo Messenger, dan sebagainya? Ini realiti remaja Islam sekarang. Perjuangan Islam memerlukan tenaga orang muda. Adakah orang muda Islam hari ini mampu melakukan sehebat Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan kota Istanbul (Constantinople) dari cengkaman Empayar Byzantine ketika usianya baru sahaja 21 tahun?

Saya sudah pun melepasi had umur 21 tahun, dan saya masih tidak melakukan sumbangan besar kepada Islam. Adakah anda mampu memecahkan rekod Sultan Muhammad al-Fatih, seperti dengan membebaskan kota Palestin dari rejim Zionis pada usia 20 tahun?

Mungkin itu terlalu besar bagi diri kita. Ibarat mahu mengumpul bintang-bintang di langit. Taqwa kita dan taqwa Sultan Muhammad al-Fatih besar bezanya. Taqwa yang lemah tidak mampu menggentarkan Zionis dan musuh-musuh Islam yang lain. Maka, kita beralih kepada sesuatu yang lebih kecil. Bolehkah kita pada hari ini, sekurang-kurangnya membaca setengah juzuk Al-Quran setiap hari? Angkat tangan siapa boleh!

Saya tahu, tak ramai yang mampu. Setengah juzuk Al-Quran hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk membacanya. 30 minit terasa seperti 30 jam apabila orang-orang yang berhati kotor membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Aneh bukan? Mungkin ini ada kaitannya dengan teori relativiti yang dikemukakan oleh Albert Einstein. Satu petikan kata-katanya untuk menjelaskan teori relativiti yang kompleks ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ialah:

"Put your hand on a hot stove for a minute, and it seems like an hour. Sit with a pretty girl for an hour, and it seems like a minute. That's relativity."


Agaknya pada hari ini, tidak salah kalau saya mengatakan bahawa umat Islam, tanpa mereka sedari telah memiliki satu rumus paradigma: hot stove = Al-Quran, dan pretty girl = Friendster.

Sebuah Perubahan
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tentang Friendster. Tidak mengapa. Saya tidak paksa anda untuk meninggalkannya secara serta-merta. Sebab itu artikel ini bertajuk Kempen Menjauhi Friendster, dan bukannya Kempen Memboikot Friendster. Saya tidak syadid atau keraskan perkara ini kepada anda. Saya hanya syadid pada diri saya sendiri. Saya bimbang kalau-kalau saya ketagih Friendster, maka saya gunakan kaedah cold turkey3 untuk mengatasinya.

Bagaimana saya mampu untuk menghalang manusia dari menyertai komuniti sosial maya ini, sedangkan ia semakin menjadi budaya kehidupan manusia zaman moden? Pada tahun 2006, carian utama di Google adalah Bebo (tangga pertama) dan MySpace (tangga ke-2)4. Bebo juga merupakan satu lagi rangkaian sosial maya yang semakin meraih populariti masyarakat dunia. MySpace, Bebo, Friendster, dan lain-lain, adalah realiti hari ini.

Tapi percayalah, hati manusia itu sifatnya sentiasa berubah. Mungkin hari ini anda memandang Friendster itu sebagai sesuatu yang elok dan bermanfaat. Saya juga begitu satu ketika dahulu. Tetapi, apabila alam ini semakin mendewasakan saya, pandangan dan paradigma saya telah berubah. Sama ada kita sedari atau tidak, satu hari nanti kita pasti akan berubah dan menjadi semakin dewasa (hanya semata-mata anda berumur 40 tahun, itu tidak bermakna anda telah dewasa). Muhammad Ali, bekas jaguh tinju termasyhur di dunia pernah berkata:

A man who views the world the same at fifty as he did at twenty, has wasted thirty years of his life.


Satu hari nanti, apabila datang detiknya anda tiba-tiba terfikir untuk meninggalkan alam Friendster, maka janganlah ragu-ragu untuk melaksanakannya. Sedangkan pengasas Friendster sendiri, iaitu Jonathan Abrams juga telah meninggalkan Friendster, mengapa anda juga tidak boleh? Apa yang bezanya, selepas Jonathan Abrams meninggalkan Friendster, beliau telah melabur di dalam sebuah kelab malam di San Francisco, iaitu Slide. Dan kemudian mengasaskan satu lagi rangkaian sosial lain, dinamakan Socializr pada tahun 2006.

Jonathan Abrams mengasaskan Friendster dan Socializr dengan matlamat asalnya yang berbeza. Beliau mendapat idea menubuhkan Friendster setelah dia gagal dalam percintaan. Jonathan Abrams tidak boleh hidup tanpa kehadiran wanita di sisinya. Maka dengan kewujudan Friendster, ia akan membantu Jonathan Abrams untuk mencari teman wanita yang baru yang cantik5. Socializr pula diwujudkan dengan bisnes dan wang sebagai matlamat utama setelah Friendster memasuki zaman suramnya (yang akhirnya membawa kepada penarikan dirinya dari syarikat yang diasaskan olehnya ini).

Kita selaku umat Islam, janganlah setelah meninggalkan Friendster dan kemudian terlibat aktif pula di dalam MySpace! Kita umat Islam mesti memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan mereka yang bukan Islam. Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq6 di dalam wasiatnya:

"Berkerjalah di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selamanya, tetapi beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."


Panduan Mencari Sahabat
Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan terlebih-lebih kadar. Dan jangan fikir dengan ada beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster anda, itu menandakan anda sangat popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari. Sebab itu Rasulullah saw sendiri pernah bersabda di hampir penghujung usia Baginda, yang maksudnya lebih kurang,

"Orang yang paling aku percayai adalah Abu Bakar. Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." 7


Semua umat Islam kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merupakan lelaki pertama yang benar-benar percaya kepada wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah, di kala ramai orang mengatakan Nabi sudah terkena penyakit gila dan schizo. Beliau adalah seorang lelaki yang sanggup mengambil risiko menemankan Rasulullah dalam hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah walaupun dirinya sentiasa berada di dalam keadaan ketakutan sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan Syurga. Beliau adalah seorang lelaki yang apabila dibentangkan Syurga dan Neraka di hadapannya, pasti tidak akan bertambah lagi keyakinannya terhadap segala janji dan ancaman Allah kerana keimanannya sudah berada di tahap paling maksimum. Beliau jugalah yang berkata, "Jika sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata Alhamdulillah."

Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Siapa yang tidak mahu menjadikan manusia semulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq ini sebagai seorang teman sejati? Namun demikian, apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap mengatakan "Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri. Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.

Sidi Ahmad al-Zarruq sekali lagi di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).

Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak memiliki ramai kawan. Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik, buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah. Ini kerana sahabat akan bersama-sama dengan kita dalam susah atau senang. Dan jangan lupa juga bahawa seorang musuh yang kita ada adalah jauh lebih banyak dari 1000 kawan di sekeliling pinggang.

Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan parasit. Saya pernah sahaja mendengar beberapa kisah sahih tentang persahabatan dunia moden. Dua orang ini siap pernah berbai'ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang lari di waktu kita susah, belum lagi masuk bab kawan makan kawan, atau kawan tikam belakang.

Sahabat dan Cinta
Perhubungan sahabat adalah sama seperti perhubungan cinta. Kita tidak menganggap seseorang itu cintakan kita apabila dia melarikan diri apabila kita susah. Begitulah juga dalam persahabatan. Fahami konsep cinta ini, maka kita akan faham tentang konsep persahabatan. Cinta itu lebih asyik berbanding sebuah persahabatan. Dalam cinta, kita akan selalu berjumpa ayat-ayat cinta seperti "Aku akan tetap bersama mu selamanya...dalam susah atau pun senang." Ini janji sehidup semati dalam percintaan. Sedangkan orang yang bercinta (malah yang telah berkahwin) pun boleh berpisah dan bercerai-berai, maka apatah lagi dalam hubungan persahabatan.

Sifat cinta adalah setia dan patuh kepada insan yang dicintainya. Seorang wanita pernah bertanya kepada seorang penyair tentang bagaimana kita mahu tahu sama ada seseorang itu benar-benar mencintai dirinya dengan sebenar-benar cinta. Dan penyair itu menjawab:

"Jika si dia berasa yang dia pasti mati jika tidak meminum air disebabkan kehausan, dan kemudian engkau berkata kepadanya, "Jangan minum air itu", maka dia tidak akan minum air itu".

Inilah yang dinamakan cinta. Dan inilah juga intisari ikatan persahabatan. Persahabatan dan percintaan yang hakiki tidak akan berubah apabila situasi berubah. Pengajarannya, berhati-hatilah dalam mencari cinta dan persahabatan di dalam dunia ini.

Ikatan persahabatan dan percintaan (yang palsu) berubah apabila situasi berubah kerana kebanyakkan manusia melihat sesuatu perkara, masalah dan isu mengikut dari kaca mata dirinya sahaja. Dengan kata lain, kebanyakkan manusia mementingkan diri sendiri, atau pun selfish. Oleh itu, apabila memulakan sebuah persahabatan dan percintaan, jangan terus menganggap bahawa mereka akan benar-benar memahami diri kita.

Lain tempat tegak, lain barang yang nampak. Dunia dia dan dunia anda mungkin berbeza. Tapi tak mustahil anda dan dia mempunyai aspirasi yang sama. Lihat sahaja sejarah perkembangan Islam oleh Rasullullah di Mekah selama 13 tahun, dan di Madinah selama 10 tahun. Bagaimana caranya dalam tempoh 23 tahun itu, Rasulullah berjaya menyatukan penduduk tanah Arab yang terdiri dari pelbagai puak yang saling bercakaran dan dibelit pula dengan fahaman fanatik asobiyyah, menjadi satu ummah yang diikat kukuh dengan tali akidah kepada Allah yang satu?

Ini kerana mereka yang memeluk Islam itu memiliki aspirasi yang sama. Aspirasi mereka adalah untuk mencari keredhaan Allah, dan seterusnya mudah-mudahan mendapat balasan syurga dan terlepas dari azab api neraka. Dengan aspirasi inilah kaum Ansar sanggup mengorbankan apa sahaja demi menolong orang-orang Muhajirin. Ya, apa-apa sahaja, sehingga ada kaum Ansar yang mahu menceraikan isteri mereka untuk diberikan kepada orang-orang Muhajirin yang masih bujang. Kaum Ansar ini tidak gila, tetapi mereka telah benar-benar memahami konsep persaudaraan dan persahabatan yang hakiki.

Melalui aspirasi itu jugalah, umat Islam yang pada mulanya hanya ada seketul dua jumlahnya, akhirnya meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang yang berpayung di bawah akidah tauhid yang sama. Seluruh tanah Arab berjaya di Islamkan. Ketika berlakunya Haji Wida' tahun 10 Hijrah, iaitu haji terakhir yang dihadiri oleh Rasulullah sebelum kewafatannya pada tahun 11 Hijrah, sekurang-kurangnya 120,000 orang telah bersama-sama Nabi mengerjakan haji tersebut. Kadang-kadang, amat aneh memikirkan bagaimana dalam tempoh 2 dekad sahaja, umat Islam di tanah Arab mampu mencapai tahap yang sangat gemilang. Dan saya percaya, ia adalah disebabkan aspirasi mereka yang sama. Dan aspirasi inilah yang mampu menjadi kunci untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di muka bumi ini.

Sahabat yang Patut Dicari
Sahabat yang patut kita cari adalah sahabat yang berkawan dengan kita bukan kerana kekayaan, kepopularan, kehenseman, dan kecomelan yang kita ada. Kekayaan boleh hilang serta-merta. Begitu juga dengan populariti. Maka apabila kekayaan dan populariti ini hilang, kita juga akan kehilangan sahabat. Dan jangan juga berkawan dengan seseorang itu hanya semata-mata dia hensem, kacak, cantik dan comel. Semua benda ini akan pergi satu hari nanti. Orang yang dilahirkan cantik, jangan bermegah dan suka menunjuk-nunjuk. Sila merendah diri dan jangan gedik. Cantik sebenarnya adalah satu masalah besar bagi diri manusia.

Cantik itu ibarat dilahirkan dari perut ibu sebagai seorang yang kaya-raya, dan kemudian kekayaan itu semakin surut apabila umur bertambah, dan tiada langsung cara untuk menambahkan kekayaan yang semakin beransur-ansur hilang itu. Pepatah orang putih mengatakan, "Beauty is only skin-deep". Maksudnya, kacak dan cantik itu hanyalah setebal kulit. Apabila kulit manusia yang setebal kira-kira 2mm ini disiat dari badan, maka apakah beza di antara si Beauty dan si Beast? Maka berhati-hati dengan kecomelan yang anda miliki.

Sahabat yang baik patut menjadi cermin kepada diri kita. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu hadith yang sering dipetik oleh umat Islam, iaitu "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain." Tanya diri anda, apa tujuan anda melihat cermin?

Kita melihat cermin bukan untuk melihat kecantikan diri kita. Kita melihat cermin untuk membetulkan apa-apa yang tidak kena pada wajah dan badan kita, atau pada pakaian yang kita kenakan. Ini fungsi hakiki cermin. Jika anda melihat cermin untuk melihat kecantikan diri anda, dan kemudian rasa perasan yang anda ini cantik, comel atau kacak, maka apa beza di antara anda dan Wicked Queen dalam kisah dongeng Snow White? 8

Oleh sebab itu Nabi mengatakan bahawa seorang mukmin adalah cermin bagi orang mukmin yang lain. Apabila berjumpa dengan seorang mukmin yang lain, jadikan mereka sebagai cermin. Lihat perkara-perkara yang baik pada diri mereka, lalu pantulkan kebaikan itu pada diri anda. Mudah-mudahan pantulan itu akan membuatkan anda menyedari perkara-perkara buruk dalam hidup anda yang mesti anda perbaiki.

Untuk anda menjadi cermin kepada mukmin yang lain, maka anda juga mahu tidak mahu perlu juga berubah menjadi lebih baik dari semalam. Apabila semua mukmin saling berfungsi seperti cermin, maka semakin indahlah akhlak masyarakat Islam yang ditonjolkan kepada masyarakat bukan Islam. Indahnya akhlak akan membawa kepada perkembangan ummah yang lebih sihat dan progresif.

Kesimpulannya, agak sukar bagi kita untuk melihat keburukan dan aib diri sendiri tanpa ada cermin. Dan cermin itu adalah saudara mukmin kita. Dengan cermin, barulah kita boleh melihat siapa kita. William Shakespeare ada menulis satu perkara berkaitan cermin di dalam salah satu karyanya yang popular, iaitu Macbeth. Katanya lebih kurang, "Tuhan telah menetapkan bahawa manusia hanya boleh melihat wajahnya melalui cermin". Dengan kata lain, kita tidak akan sama sekali boleh melihat wajah sendiri dengan mata kita. Kita hanya boleh melihat wajah sendiri melalui refleksi yang dihasilkan melalui cermin.

Kita tidak boleh melihat wajah sendiri. Tetapi orang lain yang ada di sekeliling kita boleh melihat wajah kita. 'Orang lain' ini berpotensi menjadi cermin bagi diri kita. Sebaik-baik cermin adalah orang-orang mukmin. Maka pilihlah 'cermin' itu berhati-hati. Cermin yang baik akan menyedarkan kita tentang keaiban yang ada pada diri. Kurangkan bergaul dan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai banyak 'cermin-cermin rosak dan dusta'. Cermin-cermin sedemikian saya sifatkan sebagai cermin yang digunakan oleh Perseus untuk membunuh Medusa. Siapakah Medusa?

Medusa adalah satu makhluk jahat dalam mitos Greek. Medusa memiliki rambut ular dan wajahnya begitu hodoh. Manusia yang memandang Medusa akan berubah serta-merta menjadi batu. Oleh itu Perseus menggunakan pelindung cermin dalam usahanya membunuh Medusa. Dengan melihat pantulan imej Medusa di dalam cermin (dan tidak memandang tepat ke arah Medusa bagi mengelakkan disumpah menjadi batu), Perseus akhirnya berjaya memenggal leher Medusa. Inilah cermin yang membawa kepada kemusnahan Medusa. Dan 'cermin-cermin rosak dan dusta' yang saya sebutkan di perenggan sebelumnya juga boleh membawa kemusnahan kepada diri kita jika tersilap langkah. Cermin rosak dan dusta ini dihasilkan oleh kaki-kaki maksiat dan lagha. Maka, cari dan berkawanlah dengan orang-orang yang mukmin dan soleh. Mudah-mudahan kita mendapat sebaik-baik cermin. Jangan biarkan diri anda terbunuh seperti Medusa.

Sahabat Hakiki

Biar apa pun jenis sahabat yang anda miliki, tetapi ketahuilah bahawa sahabat baik yang sebenar bagi seseorang manusia itu adalah amal solehnya. Inilah sebaik-baik teman, dan ia juga adalah sebaik-baik bekal bagi kita untuk bertemu dengan Allah. Ini seperti mana kisah Hatim al-'Assam yang terdapat di dalam kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali. Hatim al-'Assam adalah seorang sahabat baik kepada Syaqiq al-Balkhiy.

Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Kamu telah bersahabat denganku selama 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?" Jawab Hatim al-'Assam, "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat nanti."

Dan ini perkara pertama dari 8 perkara itu. Untuk 7 perkara lagi, sila dapatkan kitab itu di kedai buku berhampiran (tak tebal pun kitab tu).

Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya. Lalu aku berfikir, "Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal solehku."


Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.


Sebagai satu kesimpulan, tulisan ini bukan bertujuan untuk mengajak para pengguna Friendster, MySpace, Facebook, dan sebagainya, untuk terus memboikotnya jauh-jauh. Sebaliknya hanya untuk memberikan satu kesedaran bahawa Friendster itu adalah satu alat, dan bukannya matlamat. Maka, jika Friendster adalah satu alat, adakah wajar untuk kita menghabiskan masa yang begitu lama, setiap hari di situ? Dan tulisan ini dibuat bagi menyedarkan diri saya, dan mudah-mudahan mampu memberikan sesuatu yang berguna juga kepada orang lain.

Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-moga kita bertemu dengan seorang sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!

Nota Kaki
1 Online Snapshots of VT.
http://blog.wired.com/27bstroke6/2007/04/online_snapshot.html

2 Untuk penjelasan lebih lanjut tentang hukum bermain catur, sila baca Chess in the Light of the Jurist oleh Sheikh Hamza Yusuf. Download PDF.

3 Cold turkey adalah satu slanga English yang merujuk kepada kaedah membuang ketagihan secara serta-merta. Contohnya, jika anda mahu cold turkey dalam ketagihan merokok, maka anda akan terus buang rokok itu jauh-jauh, terus tidak menghisapnya. Jika anda mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara beransur-ansur, ini bukanlah dipanggil cold turkey. Cold turkey memerlukan keazaman yang tinggi.

4 Social networks top Google search.
http://news.bbc.co.uk/2/hi/technology/6189809.stm

5 Kenyataan hartawan Mark J. Pincus, seorang usahawan yang banyak melabur dalam Friendster: "Basically, Jonathan wanted to meet girls. He told me himself, he started Friendster as a way to surf through his friends’ address books for good-looking girls." dari Wallflower at the Web Party.

6 Sidi Ahmad al-Zarruq (846-899 Hijrah) adalah seorang ulama besar kelahiran Fez, Maghribi. Beliau bermazhab Maliki dan juga merupakan salah seorang sheikh besar dalam tariqat Shadhili. Jasanya lebih harum dalam bab tasawwuf, namun demikian beliau juga adalah seorang pakar hadith dan fiqh. Diberi nama timangan sebagai Muhtasebul ulama' wal awliya yang bermaksud orang yang membetulkan para ulama dan para wali. Beliau merupakan satu-satunya ulama yang mendapat gelaran ini.

Ada juga para ulama lain yang diberikan nama timangan, seperti Imam al-Ghazali dipanggil Hujjatul Islam. Di dalam sistem tradisi Syiah, ada juga ulama mereka yang dipanggil Hujjatul Islam. Tetapi dari segi tradisi Sunni, apabila disebut Hujjatul Islam, maka ia merujuk kepada Imam al-Ghazali sahaja. Di zaman moden, Syeikhul Islam lebih merujuk kepada Imam Ibnu Taimiyyah. Namun demikian, secara tradisinya ia tidak begitu. Sheikhul Islam adalah istilah yang lebih meluas penggunaannya. Antara para ulama lain yang digelar dengan Sheikhul Islam adalah seperti Sheikh Zakariyya al-Ansari, Qadi Iyad, Imam Ibnu Hajar 'Asqalani, dan Imam Futuhi al-Hanbali.

7 Habib Ali al-Jufri ada menyentuh perkara ini dalam satu ceramahnya. Jangan bimbang, ceramah ini ada sarikata Bahasa Melayu.
http://www.youtube.com/watch?v=zH9BtuUHMsk

8 Wicked Queen selalu bertanya kepada cermin yang dimilikinya, "Cermin ajaib yang ada di dinding, siapakah wanita paling cantik? (Magic mirror on the wall, who is the fairest one of all?)" Selalunya cermin itu menjawab Wicked Queen adalah wanita paling cantik di dunia (padahal sebaliknya). Apabila pada satu hari cermin itu mengatakan Snow White adalah wanita paling cantik di dunia, Wicked Queen menjadi begitu cemburu dan marah.

Ini merangsangnya untuk menghasilkan sebiji epal beracun untuk diberikan kepada Snow White. Snow White memakan epal itu dan menyebabkan dia jatuh koma, sehinggalah ada seorang putera raja yang berjaya menyedarkannya semula. Hampir semua orang mengetahui kisah ini, tetapi tak semua orang sedar bahawa: Perasan Cantik + Penyakit Hati = Kebinasaan, kerana akhirnya Wicked Queen terbunuh disebabkan sifat hasad yang ada di hati.

Sumber : http://hembusan.blogspot.com/2007/04/kempen-menjauhi-friendster-2.html

p/s: Sama-sama kita fikir baik buruknya...Bagaimana pula dengan blog?

0 ulasan  

Sepuluh Haluan

1. Laluan Menuju ke Kubur
* Jauhkan dari perbuatan mengumpat dan mengeji
* Hindarkan perasaan irihati (benci)
* Jangan terpengaruh dengan emas/ perak
* Sucikan qada' hajat dengan istibra (berak/kencing)


2. Laluan untuk Berjumpa Izrail
* Bersihkan diri dengan bertaubat
* Gembirakan hati orang mukmin
* Bayar semula qada' yang tertinggal
* Kasih sepenuh hati kepada Allah Taala


3. Laluan untuk Bertemu Mungkar Nakir
* Mengucap dua kalimah syahadah
* Suka memberi sedekah
* Berkata benar
* Bersihkan dan perbaiki hati

4. Laluan untuk Memberatkan Timbangan
* Belajar atau mengajar ilmu yang bermanfaat
* Sucikan perkataan dan pakaian
* Bersyukur dengan yang sedikit
* Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh Allah


5. Laluan Memantapkan Amalan
* Jauhkan perkataan yang sia-sia
* Pendekkan cita-cita dunia
* Banyakkan puji-pujian kepada Allah
* Banyakkan sedekah dan akhirat


6. Laluan Melalui Titian Siratul Mustaqim
* Kasihilah ailia' Allah Taala
* Berbaktilah kepada kedua ibubapa
* Berpegang teguh dengan hukum syarak
* Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk


7. Laluan Menjauhkan Diri dari Neraka
* Banyakkan membaca al-Quran
* Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
* Tinggalkan perkara maksiat
* Jauhkan segala yang haram


8. Laluan untuk Memasuki Syurga
* Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
* Kasihi orang yang soleh* Kerjakan segala suruhan-suruhan Allah
* Merendahkah dri di antara semua makhluk Allah


9. Laluan Berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW
* Kasihilah Nabi Allah
* Kasihilah Rasulullah SAW
* Tuntutilah yang difardhukan oleh Allah
* Banyakkan selawat Nabi Muhammad SAW


10. Laluan untuk Bertemu Allah
* Serahkan seluruh jiwa raga kepada Allah
* Hindarkan diri dari menderhaka kepada Allah
* Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada Allah
* Bencikan segala yang diharamkan-Nya


Sumber : shahril @ halaqah.net

0 ulasan  

Kasihnya Allah S.W.T. Kepada Wanita

"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poliga mi, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu. "
Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang disukai."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentu Tuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim ini lah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi ya ng baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya..!

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Siti Fatimah :

'Ya Fatimah, apabila seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya, memotong misai dan mengerat kukunya maka Allah akan memberinya minum dari air syurga yang mengalir di sungai-sungainya dan diringankan Allah baginya sakaratulmaut dan akan didapatinya kuburannya menjadi sebuah taman yang indah dari taman-taman syurga.'


Sumber : http://nadhirahinsyirah.blogspot.com/

0 ulasan  

Dilema Seorang Gadis [Hijab]

0 ulasan  

Wanita, Kamu Itu Indah

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan laki-laki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.” (An-nur,24:31)

Ayat ini menyatakan kepada para wanita agar menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya dan menjaga aurat mereka supaya tidak diperlihatkan. Ayat ini adalah sebagai 1 ayat yang mengangkat darjat wanita. Maka, yang ingin saya highlightkan di sini adalah kepada siapa saja wanita boleh menampakkan auratnya.

Wanita tidak boleh memperlihatkan auratnya kecuali kepada:

1. Suami
2. Ayah kandung
3. Ayah kepada suami (ayah mertua)
4. Anak-anak kandung mereka
5. Anak-anak kepada suami mereka (eg: anak tiri)
6. Saudara laki-laki (adik-beradik kandung yang punya pertalian. Eg: abang dan adik lelaki)
7. Anak-anak lelaki dari adik-beradik kandung (Anak daripada kakak, abang, adik yang sudah berkahwin. Eg: anak buah)
8. Semua wanita yang beragama Islam
9. Hamba sahaya (hanya ada pada zaman para Nabi dulu, sekarang tidak ada)
10. Pelayan laki-laki (tua) yang tidak punya keinginan terhadap perempuan
11. Kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita.

Begitu terang telah dinyatakan di dalam Al-Quran.Sungguh, kalau kita menyelami akan segala hikmah akan perintah Allah ini diturunkan pada wanita, begitu memperlihatkan bahwa kedudukan wanita itu adalah tinggi dan sangat istimewa.

Mengapa kita diperintahkan untuk tidak memperlihatkan aurat kita kepada mereka yang bernama ajnabi? Supaya diri kita akan terjaga. Allah memperingatkan kita di dalam Al-Quran, agar batas-batas yang diperintahkan pada wanita hanya satu – supaya kita menjaga diri. Maka, ia mencerminkan bahwa wanita itu punya daya tarikan yang tersendiri. Sifat keindahan yang ada dalam diri wanita itu terlalu bernilai tinggi tanpa ditetapkan suatu harga, maka itulah tanda Allah menghargai dan menyayangi mereka yang bernama wanita.

Wanita itu indah. Keindahan wanita itu malahan diungkapkan dalam sebuah hadis tentang mengatakan keindahan seorang wanita;

“Dunia adalah perhiasan, maka sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Seindah apa pun di dunia ini, tiada yang lebih indah dari seorang wanita yang menjaga diri dan maruahnya, yang begitu menepati sebagai seorang wanita yang solehah.Yang sudah namanya indah, perlukah dipertontonkan lalu diratah umum keindahannya pada sekalian manusia yang sepatutnya tidak layak dipertontonkan?

Bukankah prinsip sebenarnya adalah, orang lain yang sedaya upaya ingin melihat keindahan yang tersembunyi yang ada pada wanita itu. Ya, yang indah itu ternyata harus disembunyikan, tanpa diperlihatkan. Tidak sepatutnya yang indah itu diperlihatkan dengan percuma oleh yang tidak halal baginya. Orang lain sudah mengetahuinya lebih awal dan mungkin akan berkata; “Oh, tidaklah indah seperti yang kusangkakan”. Dengan itu, keindahan yang seharusnya disembunyikan ternyata tidak bernilai, kerana sudah diketahui umum lalu menjadi perbualan. Sana-sini diperkatakan.

Indah yang tidak bernilai! Argh, begitu pahit. Diri wanita yang seharusnya mendapat pujian atas keindahan yang ada pada dirinya malahan dihina, kerana tidak bernilai. Tapi, kebanyakan wanita mungkin tidak mengerti tentang itu. Keindahan yang ada pada diri mereka andai dipertontonkan awal pada sekalian orang, yang pada mulanya punya harga tinggi, akhirnya tidak punya nilai langsung, malah nol.

Diri ini sebagai seorang wanita, betapa melihat rambut wanita lainnya tanpa ditutup, melihat lengan-lengan wanita yang dibiarkan telanjang tanpa dibalut, melihat kaki-kaki tanpa berstokin. Apa lagi yang memakai baju singkat, andai diangkat lengan atau membongkok, pasti sudah nampak pinggang dan pusat. Bentuk badan dan punggung tidak perlu diperkatakan. Walau kulitnya tidak dilihat, tetapi bentuk sudah mampu dibayangkan. Ya Allah. Sungguh, saya merasa malu. Kerana bukankah semua wanita itu sama? Seorang wanita yang memperlihatkan auratnya, saya merasakan itu adalah diri saya.Ya Allah.

Wanita, rambut kamu itu indah. Lengan kamu itu indah. Kaki kamu itu indah. Apatah lagi yang berkulit putih, andai dipertontonkan pada orang ramai. Saya begitu terguris. Hati saya tercalar. Ingin saja saya menutupinya dengan kain-kain atau sapu tangan yang saya ada. Ingin saja saya menutupinya dengan apa sahaja agar tidak ada satu mata lelaki yang sempat memandangnya.

Hakikatnya, saya tidak bisa. Kerana itu bukan hak saya. Itu hak mereka. Tetapi, yang peritnya, orang yang melihat itu juga bukan hak mereka untuk menatap dan melihatnya dengan pandangan percuma yang penuh sinis dan jahat! Pandangan jahat dan sinis oleh mereka yang bergelar lelaki!

Wanita, kamu itu indah. Begitu kamu sanggup keindahan yang ada pada kamu itu dipandang dengan pandangan sinis dan bukannya dengan pandangan hormat yang seharusnya diberikan pada kamu? Keindahan kamu begitu dipandang dengan pandangan yang mampu menimbulkan nafsu jahat pada diri mereka. Lalu, niat jahat itu akhirnya ingin memperdayakan kamu, mempermainkan kamu sehingga keinginan jahat mereka itu dipersetujui oleh kamu, tanpa kamu sedari.

Mereka berani memulai langkah ingin berkenalan dengan kamu, kerana diri kamu seperti tidak ada nilai. Lalu, sangat mudah untuk diperlakukan. Diajak berkenalan, setuju sahaja. Diajak berbual, setuju sahaja. Diajak berjumpa, setuju sahaja. Disuruh apa sahaja walau tidak masuk akal, kamu hanya setuju sahaja. Kamu sangka itu cinta, padahal itu adalah nafsu jahat mereka yang hanya ingin menggunakan kamu untuk kepentingan dirinya. Semuanya bermula kerana kamu sudah memperlihatkan semua keindahan yang ada pada diri kamu dengan percuma.

Mungkin kamu sendiri tidak menghargai keindahan yang ada pada diri kamu itu, lalu kamu perlihatkan kepada mereka yang tidak sepatutnya. Mereka itu sangka andai kamu menghargai keindahan yang ada pada kamu, sudah tentu kamu berusaha menyembunyikannya. Malah, sesungguhnya tidak. Lalu, kerana itu mereka ingin pergunakan kamu.

Wanita, kamu itu indah. Tapi, kamu jangan lupa bahwa kamu juga adalah punca fitnah. Lalu, apakah kamu benar-benar indah yang boleh membawa lebih banyak kebaikan? Keindahan yang ada pada dirimu itulah yang akan membawa banyak keburukan dan kerugian buat diri kamu yang bernama wanita.

Sumber: http://wardatulshaukah.blogspot.com/

0 ulasan  

Halaman Utama !