Yang salah penjahat, bukannya purdah
Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar. Demikian laporan akhbar harian semalam (Syeikh Tantawi haramkan purdah ke Universiti alAzhar).
Hari ini seorang anggota Parlimen Mesir pula dikatakan meminta Sheikh Tantawi meletakkan jawatannya selepas tegurannya kepada seorang pelajar berpurdah.
Akhbar juga melaporkan MB Kelantan, Tok Guru Nik Aziz bersedia haramkan purdah di Kelantan jika perlu, benarkah?
Saya melihat isu ini dari beberapa aspek:
Pertama, berpurdah khilaf di kalangan ulama, ada yang mewajibkannya. Majoriti ulama mengatakan yang wajib ditutup ialah muka dan tapak tangan. Ada ulama yang mengatakan, jika seorang perempuan berpurdah, bererti ia telah mengambil pendapat terbaik dan keluar dari khilaf ulama. Sementara perempuan yang menutup auratnya dengan betul kecuali muka dan tapak tangan, bermakna ia telah berpegang kepada pendapat majoriti ulama. Realiti yang berlaku di kalangan majoriti wanita ialah mereka yang berpakaian tetapi telanjang. Menutup aurat tidak pernah sempurna. Ulama sepatutnya memfokuskan kepada ramai wanita yang seperti ini, bukannya yang berpurdah.
Kedua, jika isunya ialah isu keselamatan, maka sepatutnya langkah yang diambil ialah dengan menggunakan teknologi canggih melalui alat pengesan bom, alat pengimbas x-ray dan lain-lain cara. Tidak perlu mengharamkan purdah secara total. Pelajar perempuan yang memang dikenali di pusat-pusat pengajian, di dalam kelas, adakah mereka itu membawa bom dan senjata? Lalu mereka dihalang dari memakai purdah?
Lainlah kalau tempat itu tempat awam misalnya. Isu keselamatan kritikal di situ, bolehlah dilarang purdah di tempat tersebut, tetapi sebenarnya kawalan keselamatan masih boleh dibuat melalui teknologi canggih. Kalau mahu dikira, bom dan lain-lain boleh disembunyikan dalam kot, dalam baju biasa. Justru, kot dan baju biasa pun nampaknya perlu diharamkan. Yang tinggal ialah dengan berseluar dalam. Dalam seluar dalam pun boleh disembunyikan bom. Jadi seluar dalam pun perlu diharamkan. Apa lagi yang tinggal?
Ketiga, saya pernah mendengar lama dahulu tentang beberapa kenyataan Sayid Tantawi ini yang menjadi kontroversi kepada umat Islam, bukan sahaja di Mesir tetapi di tempat lain.
Keempat, berpurdah biasanya datang dari hati seorang wanita yang mahukan privasi untuk dirinya. Dia merasakan dirinya cukup selamat dengan pakaian itu. Saya tahu perkara ini kerana isteri saya berpurdah. Jangan cuba sekat privasi wanita ini. Kalau mahu sekat, sekatlah mereka yang berpakaian tetapi bertelanjang di hadapan orang lain. Mereka tidak menjaga privasi diri sendiri dan keharmonian bermasyarakat.
Kelima, kenyataan MB Kelantan, saya berharap bahawa apa yang diucapkannya lain dari yang difahami oleh wartawan seakan-akan memperlihatkan Tok Guru anti-purdah. Ramai pelajar perempuan di Kelantan yang saya rasa berpurdah. Mereka selesa demikian. Diri terasa lebih selamat dari mata yang jahat. Purdah tidak jahat, yang jahat ialah orang yang jahat.
Rujukan : Ust Nik Nasri
5 ulasan:
-
Salam.
ape yang dikhabarkan oleh surat khabar bukan semuanya betul. hatta klu berita pas sekalipun, bukan semua betul. jadi nilailah setiap penulisan dengan ilmu bukan dengan percaya bulat2. dan fahamilah media yang mencari publisiti utk melariskan jualan s.khabar mereka. adekalanya mereka sanggup mengeluarkan berita palsu utk mendapatkan top jualan.
nah,ini ana bawakan ulasan dari al-uztaz nazrul nasir.
Ya Allah, Aku bersaksi kepadaMu, jikalau aku tidak mampu menjadi seorang ulama, maka cukuplah diriku menjadi khadam kepada para ulama, membela mereka daripada ditohmah walau diri ini tergadai.. Moga mereka akan memberikan syafaat kepadaku kelak dengan Rahmat dan InayahMu Ya Rabbal A'lamin...
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Keherah Mesir
www.nazrulnasir.blogspot.com
-
Sekali lagi hati ini terguris bilamana para ulama dipermainkan.Inilah bahananya jika pekerjaan yang dilakukan langsung tidak berpaksikan iman dan adab.Sikap pembaca pula terlalu cepat menghukum dan memberikan komentar. Saya mendengar khabar daripada beberapa sahabat, sudah ada yang menggunakan laman facebook untuk mengecam dan mengutuk Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Seringkali kita memberikan nasihat dan pesanan kepada akhbar Tanah Melayu yang sering bersekongkol dengan akhbar dunia yang lain agar melakukan penelitian sebaiknya kepada setiap pernyataan yang dikeluarkan.
Berkali-kali kita sebutkan , selepas ini jika berita dan akhbar Melayu mengeluarkan sesuatu pernyataan kontroversi tentang pendapat para ulama maka perkara pertama yang perlu dipasakkan di dalam minda sidang pembaca ialah “ BOLEH DIBACA NAMUN PERCAYA JANGAN”. Kamu tak takutkah dengan hukum Allah taala kerana sering mempermain-mainkan para ulama.
Ingatlah, daging ulama itu beracun. Jangan bermain-main dengan maruah seorang ulama.
-
Pendapat yang dikeluarkan oleh Syaikhul al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah jelas bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia.Lain yang diucapkan oleh Syeikh, lain pula yang mereka masukkan ke dalam akhbar milik mereka.Kalau ya pun inginkan akhbar picisan milik kamu terjual laku di pasaran, usahlah lakukan fitnah kepada para ulama sehingga sedemikian rupa.
Apa yang diterangkan oleh IslamOnline dapat menjelaskan segala kekusutan yang berlaku. Saya diminta berkali-kali oleh sahabat-sahabat untuk membahaskan isu ini. Sikap saya yang pertama, tidak mahu terlalu cepat meletakkan hukum kepada ulama yang kita kenali sangat wara’ di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Secara jelasnya , Syaikhul Akbar tidaklah melarang @ mengharamkan ( seperti bahasa yang digunakan oleh Akhbar Malaysia) pemakaian niqab secara mutlak. Malah larangan ini hanyalah kepada sekolah dan pusat pengajian yang di dalamnya hanya terdapat wanita sahaja. Ini bermakna, jika terdapat lelaki di dalam kawasan tersebut, maka dibenarkan untuk memakai niqab bagi wanita. Apa yang kita kesalkan, akhbar Malaysia jelas menyebarkan berita yang bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Syaikhul Akbar.
-
IslamOnline juga menerangkan bahawa, Syaikhul Akbar bukanlah menentang pemakaian Niqab kepada wanita. Malah beliau amat-amat menghormati pandangan wanita yang ingin mengekalkan pemakaian niqab.Namun, apa yang beliau tentang ialah kesalahfahaman yang berlaku dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Bahasa mudahnya, mengamalkan agama bukan pada tempat yang sepatutnya. Jika sesebuah institusi tersebut ahlinya terdiri daripada golongan wanita semata-mata, apa faedahnya mereka memakai niqab?? Ini yang ingin Syaikhul Akbar terangkan dan bawa kepada masyarakat. Bukannya seperti yang disebarkan oleh akhbar-akhbar picisan yang seolah-olah mengatakan bahawa niqab ingin diharamkan seratus-peratus kepada golongan wanita muslimah.
Manakala isu tohmahan terhadap Syaikhul Akbar yang mengatakan bahawa beliau menghina pelajar wanita tersebut dengan mengatakan bahawa “ Aku lebih mengetahui tentang agama daripada kamu dan orang-orang yang mendidik kamu” jelas merupakan fitnah terhadap Syaikhul Azhar. Perkataan ini langsung tidak diucapkan oleh Syaikhul Akbar. Ini jelas putar belit yang dilakukan oleh akhbar yang memang terkenal suka mencari publisiti murahan dengan melakukan penghinaan terhadap para ulama.
Penjelasan lanjut boleh dilihat di IslamOnline.
Inilah senario masyarakat sekarang, ulama terlalu dipandang rendah dan hina. Malah dianggap tiada langsung kedudukan disisi mereka. Saya tidak mahu membahaskan isu sama ada niqab ini benar-benar merupakan tuntutan agama atau sekadar adat seperti yang disebutkan oleh Syaikhul Akbar.Ini merupakan permasalahan khilaf dikalangan para ulama.Khilaf di dalam permasalahan ini bukanlah merupakan perkara usul yang boleh membawa kepada kekufuran. Malah ianya cuma khilaf di dalam permasalahan cabang agama. Terlalu dangkal golongan yang ingin melakukan tohmahan kepada Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah hanya kerana beliau mengatakan bahawa niqab ini hanyalah merupakan adat.
Orang zaman sekarang lebih suka percayakan akhbar yang ditulis oleh wartawan yang tidak diketahui peribadinya berbanding mempercayai ulama muktabar.
Saya sangat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh Fadhilatus Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah bilamana ditanya pandangan beliau berkenaan pendapat Syaikhul Akbar tentang “ Harus Memberikan Infaq Kepada Pembinaan Gereja”. Kata Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah(secara ringkasnya) :
-
“ Sepanjang pengetahuan saya perkara ini merupakan sepakat daripada para ulama mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk kita memberikan bantuan terhadap pembinaan gereja.Cuma ianya dibenarkan untuk pihak kerajaan memberikan bantuan jika keadaan memerlukan seperti yang berlaku di Gaza setelah peperangan antara Yahudi laknatullah dan tentera Islam.Kerajaan Hamas ketika itu memberikan bantuan kewangan untuk pembinaan gereja yang runtuh akibat peperangan tersebut. Secara jelasnya, saya menyebutkan perkara ini dengan ilmu saya yang sedikit berbanding Syaikhuna al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Mungkin Fadhilatul al-Imam al-Akbar pernah terjumpa pendapat ulama yang mengatakan bahawa dibenarkan untuk memberikan bantuan kepada pembinaan gereja.Manakala saya dengan sedikitnya ilmu pengetahuan yang ada pada saya maka tidak dapat saya memberikan pendapat sepertimana yang diberikan oleh al-Imam al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.”
Nah, inilah sikap sebenar seorang ulama dan sikap seorang pendengar yang tidak cepat menghukum.Malah meletakkan adab yang terlalu tinggi terhadap para ulama.
Moga kita semua dapat mengambil sifat terpuji yang ditunjukkan oleh para ulama kita di dalam memberikan pendapat dan berbeza pendapat.
Saya juga ada menulis tentang hukum memakai niqab pada keluaran yang lalu. Sila lihat :
Perbahasan Niqab dan Hukum Pemakaiannya
Wartawan-wartawan akhbar perlu menilai perkara ini dengan teliti.Muslim yang baik bukanlah yang terjatuh ke dalam lubang sebanyak dua kali walau telah diperingatkan berkali-kali.
Ya Allah, Aku bersaksi kepadaMu, jikalau aku tidak mampu menjadi seorang ulama, maka cukuplah diriku menjadi khadam kepada para ulama, membela mereka daripada ditohmah walau diri ini tergadai.. Moga mereka akan memberikan syafaat kepadaku kelak dengan Rahmat dan InayahMu Ya Rabbal A'lamin...
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Keherah Mesir