Kegigihan Nabi Muhammad SAW Qudwah Untuk Pendakwah

Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan ketika dunia perlukan kepada pembimbing untuk keselamatan dunia dan akhirat. Kehidupan pada waktu itu tidak ada erti kepada manusia untuk menghirup nikmat dunia. Undang-undang yang ada ialah undang-undang rimba, yang kuat bertambah kuat, yang lemah terus ditindas.

Serigala menjadi pengembala kambing, orang zalim menjadi hakim. Wanita tidak ada nilai dalam hidup. Kehadiran wanita di dunia kononnya membawa sial majal sebab itu perlu dibunuh sejak kecil lagi. Wanita hanya untuk diguna sebagai memuaskan nafsu binatang mereka dan dijadikan sebagai bahan pertaruhan dalam perjudian.

Kesesatan yang melanda setelah berlakunya kekosongan dalam diri manusia setelah Allah SWT mengangkat nabi Isa a.s. maka manusia telah kehilangan arah dan pedoman dalam jarak hampir 600 tahun. Mereka sudah lupa kepada agama tauhid yang diajar oleh Rasul-Rasul yang datang kepada setiap kaum. Sebaliknya mereka telah melakukan amalan syirik yang meletakkan manusia ditempat yang tidak ada harga diri.

Nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT yang membawa rahmat kepada seluruh alam . Seperti Firman Allah dalam surah al-Anbia’ 21:107 “Dan kami tidak utuskan engkau wahai Muhammad s.a.w. melainkan untuk membawa rahmat sekalian alam”.

Nabi yang datang misinya untuk menyelamatkan manusia supaya kembali kepada fitrah insan dan mengangkat martabat manusia. Baginda menyedari bahawa bukan merupakan satu perkara yang mudah bagi mengubah struktur kefahaman dalam diri manusia untuk kembali kepada perintah Allah SWT. Agak mudah untuk membina sebuah rumah berbanding dengan hendak membina seorang insan supaya kembali kepada agama tauhid.

Memandangkan baginda adalah insan yang agung telah dianugerahkan kepada baginda keistimewaan yang tidak ada pada makhluk lain. Baginda telah melakukan usaha dakwah berkali-kali kepada kaumnya tanpa jemu-jemu.

Apabila baginda pertama kali menerima wahyu di Gua Hira’ balik bertemu dengan isterinya Khadijah dengan perasaan takut. Untungnya baginda memperolehi seorang isteri yang menjadi pendorong kepada kejayaan baginda. Dengan ucapan yang penuh yakin kepada baginda ” Demi Allah tuhan tidak akan mengecewakan engkau selamanya”

Khadijah membawa baginda berjumpa sepupunya Waraqah bin Naufal seorang tua yang dihormati , luas penyelidikan dan luas pengetahuan. Kata Waraqah ” ini ialah tanda-tanda yang diturunkan kepada nabi-nabi , alangkah baiknya kalau aku ada bersama-sama engkau semasa engkau dihalau oleh kaum kamu kelak”.

Muhammad pun bertanya “Apakah mereka yang akan menghalau aku” Waraqah menjawab Tidak ada seorang pun yang datang sebelum mu membawa seperti yang engkau bawakan ini yang tidak dimusuhi, hendaknya dapatlah aku hidup terus supaya dapat menolong mu” tidak berapa lama Waraqah meninggal dunia,

Dengan itu bermulalah tugas nabi Muhaamd saw sebagai seorang Rasul, suatu tugas yang membataskan zaman jahiliah dan membuka zaman baru bagi bangsa Arab, iaitu zaman cahaya atau zaman Islam.

Apabila turunya surah al-Muddassir 1-7 bermulalah dakwah nabi Muhammad SAW.

Bermaksud

“Wahai orang yang berselimut, Bangunlah lalu berilah peringatan, dan agungkanlah Tuhanmu, dan bersihkanlah pakaianmu, dan tinggalkanlah segala perbuatan yang keji, dan janganlah engkau (Muhammad) memberi dengan maksud memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan kerana Tuhanmu, bersabarlah” 56:1-7.

Baginda mengajak mereka yang rapat dengan baginda seperti kaum keluarga dan sahabat yang paling akrab. Mereka diseru dengan perkara pokok agama Islam tentang adanya tuhan dan meninggalkan pemujaan kepada berhala.

Pada peringkat awal yang menerima seruan isterinya Khadijah binti Khuwailid, Zaid bin Harithah, Abu Bakar al-Siddiq.

Dengan perantaraan Abu Bakar banyak yang memeluk Islam mereka terkenal sebagai al-Sabiqun al-Awwalun (orang yang terdahulu masuk Islam). Mereka ialah Osman Affan, Zubair Ibn Awwam, Saad Abi Waqas, Abdul Rahman Bin Auf, Talhah Ubaidillah, Abu Ubaidah Ibn Jarrah, al-Arqam bin Abil Arqam.

Rumah al-Arqam adalah pusat tarbiah yang awal untuk mendidik di kalangan mereka yang awal-awal memeluk Islam. Pada peringkat awal penyertaan dalam agama Islam adalah dari kalangan golongan mustadafin (orang yang tertindas). Pada peringkat ini seruan secara rahsia berjalan selama 3 tahun.

Apabila turunnya ayat Surah Syua’ara’: 214

“Berilah ingat kepada keluarga mu yang terdekat”

Baginda menyampaikan seruan kepada keluarga yang terdekat. Baginda menyeru Sesungguhnya aku belum mengetahui ada seorang pemuda membawa sesuatu untuk kaumnya yang lebih utama daripada apa yang aku bawa untuk kamu. Aku membawa segala kebaikan dunia dan akhirat untuk kamu”

Sebahagian mereka membenarkan dan sebahagian lagi mendustakan, antaranya Abu Lahab bapa saudaranya yang menyatakan bahawa celaka engkau Muhammad apakah ini tujuan engkau mengumpul kami. Berghubung dengan ini Allah menurunkan surah al-Lahab 111:1-5 “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia!. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang diusahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam neraka api yang bergejolak. Dan isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Dilihirnya ada tali dari sabut yang dipintal.”

Apabila turunnya ayat surah al-Hijr, 15: 94

“Jalankanlah apa yang telah disuruhkan kepadamu dengan tegas dan berpalinglah dari orang musyrik”

Sesudah turun ayat ini, mulailah Rasulullah s.a.w. menyeru segenap lapisan manusia kepada agama Islam dengan terang-terangan, baik golongan bangsawan mahupun lapisan hamba sahaya, begitu juga kaum kerabat baginda atau orang yang jauh. Mulanya baginda seru penduduk Makkah kemudian penduduk negeri lain. Di samping itu juga baginda menyeru orang dari bermacam-macam negeri yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji (amalan haji yang songsang).

 

0 ulasan:

Halaman Utama !