Wajib Berdakwah Walaupun Diri Belum Sempurna.....

Ramai orang sudah mengetahui bahawa berdakwah adalah tugas setiap individu, tetapi mereka tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah. Dalam konteks dakwah, di antara kekeliruan yang sering berlaku ialah seseorang itu menanti kesempurnaan diri sebelum mahu memulakan dakwah. Inilah faktor yang menyebabkan seseorang yang mampu mencegah kemungkaran tidak mahu bangun untuk melakukannya, kerana dia merasakan amalannya belum cukup mantap dan masih terdapat banyak kelemahan pada dirinya.

Berkaitan dengan isu ini Imam Said bin Jubair berkata, “Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar sehinggalah dia berada keadaannya sudah sempurna, maka tidak akan ada sesiapa pun yang mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.” Imam Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau manambah, “Dan siapakah di antara kita yang lengkap dan sempurna?” Imam Al-Hasan pula berkata, “Siapakah di antara kita yang melaksanakan kesemua perkara yang diserukan-Nya? Syaitan amat menyukai apabila manusia terpedaya oleh sikap ini, sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.”

Pada dasarnya, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap orang yang mukalaf lagi berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Pada hakikatnya, Islam mengakui tahap-tahap kemampuan seseorang individu itu berbeza daripada individu lain. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya, hendaklah dicegah dengan kata-katanya, dan jika tidak berdaya, hendaklah dicegah dengan hatinya, dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” – riwayat Muslim.

Apabila mencegah kemungkaran, kadar minima yang dituntut ialah mengingkari dengan hati. Perkara ini disentuh dalam kitab [i]Dalilul Falihin [/i], “Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati, disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun dengan perbuatan apabila dia mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu, dan sesiapa yang menyetujui kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.”

Iman memerlukan bukti, dan salah satu antara bukti-buktinya ialah membenci maksiat. Tanpanya, iman berkecai di hati. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, “Tidak ada selepas iman, walaupun sebesar biji sawi,” - riwayat Bukhari dan Muslim. Hati yang tidak mengingkari kemungkaran boleh membawa kepada kebinasaan. Sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Masud menegaskan, “Binasalah mereka yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar, dengan hatinya.”

 

0 ulasan:

Halaman Utama !