Agar mudah mengerjakan solat malam


1. Jangan banyak makan dan minum

Salah seorang ahli ibadah mengatakan, “Wahai para hamba, janganlah kalian banyak makan, kerana kalian akan banyak minum, lalu kalian akan tidur, sehingga akan terhalang daripada mendapat banyak kebaikan, dan kalian pun akan mendapat kerugian yang besar. seterusnya, kalian akan banyak menyesal menjelang kematian!”

Inilah pesan yang begitu bernilai. Ya, jangan kita banyak makan agar tidak menghalang kita dari solat malam. Mari kita lakukan, dan tunjukkan tanggungjawab sepenuhnya. Jangan anda fikir ini urusan yang ringan!

2. Jangan terlalu memeras tenaga di waktu siang

Antara perkara yang akan membantu anda untuk mengerjakan solat malam adalah, janganlah berlebihan dalam menggunakan tenaga diwaktu siang semasa bekerja. anda mungkin akan mengatakan, “Ini adalah kata – kata yang sangat Ideal! Sebab pekerjaan ini bukanlah pilihan sendiri. pekerjaan di waktu siang itu merupakan pekerjaan yang berat. dengan nasihat ini, anda sedang meminta kami untuk melakukan sesuatu yang mustahil!”

Ya, anda boleh katakan begitu wahai saudaraku. namun, cubalah meluangkan sedikit masa untuk tidur sekejap di waktu siang serta jangan lupakan niat dan matlamat.

3. Hindari maksiat

Ini merupakan faktor penolong yang paling penting. salah seorang Tani’in mengatakan, “Janganlah kalian berbuat maksiat kepada Allah di waktu pagi, nescaya kalian akan mampu mengerjakan solat malam.”

Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah juga mengatakan, “Saya terhalang melakukan solat malam selama lima bulan akibat sebuah dosa yang saya lakukan.” Beliau pun ditanya, “Dosa apakah itu?”. Beliau menjawab, “Saya melihat seseorang sedang menangis, kemudian saya katakan, ‘Ini adalah orang yang riya’!’ ”

Sesungguhnya dosa umpama tali yang mengikat manusia. Marilah kita melepaskan tali ini dengan penyesalan, istigfar, dan taubat.

4. Lakukan dengan bertahap

Ini juga merupakan faktor yang tidak kurang pentingnya dengan yang sebelum ini. Janganlah anda kerap menghidupkan semangat yang sekejap dengan mengatakan, “Saya akan mengerjakan solat sepanjang malam setiap hari!”. Tetapi jadikanlah semangat dan motivasi anda ini sebagai semangat yang seimbang dan teratur. Berwaspadalah pada pintu penipuan syaitan. Semangat yang teratur merupakan gerbang menuju perlaksanaan ibadah ini dengan jayanya. mulailah dengan dua rakaat ringan sebelum tidur dan terus tekunlah mengerjakannya selama sebulan. Sehingga tidak ada hari yang dilalui tanpa mengerjakannya. Lalu tambahlah sedikit, dan seterusnya tambahlah setahap, demi setahap lagi.

Hayatilah, saudaraku “Agama itu mudah. Selamilah ia dengan lembut.” (HR. Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra)

(dipetik daripada Ibadah Sepenuh Hati;Amru Khalid, dalam bab Solat)

0 ulasan  

Atasi Sikap Bertangguh

Satu sikap yang ada dalam setiap diri kita dan menjadi penyebab kepada kegagalan kita. Iaitu sikap bertangguh. Bertangguh maknanya kita dengan sengaja melambatkan atau tidak menyiapkan satu-satu kerja, aktiviti atau tugasan yang sememangnya penting atas alasan yang tidak penting. Sebaliknya kalau sesuatu kerja itu terpaksa diketepikan seketika kerana ada sesuatu yang lebih penting lagi yang mesti disiapkan, maka itu bukanlah bertangguh.

Malangnya, ramai diantara kita atas alasan yang remeh temeh melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan. Mari kita renungkan seketika, kalau anda seorang pekerja di pejabat, apa agaknya kerja semalam yang anda tahu penting tetapi tidak dibuat. Mungkin ada borang yang perlu dilengkapkan dan dihantar; atau panggilan kepada pelanggan yang belum dibuat; atau projek yang belum disiapkan malah mungkin belum dimulakan; atau khidmat selepas jualan yang tidak dibuat meskipun berkali-kali anda ingatkan diri anda ia adalah penting. Bagaimana pula dengan urusan dirumah? Anda mungkin dah lama mahu mengecat rumah tetapi sehingga kini masih belum siap; atau menyapu lantai, menggosok baju, mengelap tingkap, mencuci bilik air.

Bagaimana pula dengan urusan peribadi anda? Anda tahu sudah tiba waktunya anda menghubungi ibu bapa di kampung; atau emel sahabat yang tidak berbalas dan SMS yang belum dijawab. Anda tahu berat badan mula bertambah dan sudah sekian lama anda mahu turunkan berat badan dengan menjaga diet dan melakukan senaman harian. Sudahkah ia dilakukan? Rambut yang semakin panjang sudahkah dipotong? Kalau direnungkan dengan ikhlas maka kita akan dapati terlalu banyak yang mahu dilakukan dan terlalu sedikit masa yang ada. Kalau tahu masa semakin sedikit kenapa dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak termasuk dalam senarai penting kita? Iaitu senarai yang kita tahu mesti dilakukan segera. Atau anda sebenarnya tidak pernah buat satu senarai pun selama ini? Segalanya hanya dirancang dalam kepala maka tidak hairanlah kalau anda lupa. Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa semakin suntuk dan kerja semakin menimbun.

Akibat dari rasa tertekan ini ialah kemurungan serta emosi yang tidak menentu. Kesihatan juga turut terganggu dan semua ini pasti menjejaskan produktiviti. Hasilnya, kita menjadi orang yang gagal dalam kehidupan sama ada dari kerjaya, akademik, kesihatan, ibadah, kewangan dan sebagainya.
Kenapa Wujudnya Sikap Bertangguh?

Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:

1. Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tugas.

2. Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.

3. Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukan-keburukan yang mungkin akan terjadi.

4. Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak produktif.

5. Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka segalanya pasti akan tertangguh. Bagaimana Mengatasinya? Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia bukannya perkara biasa dalam kehidupan yang tidak dapat dielak. Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat yang tertanam dalam diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan kecemerlangan.

Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah umum ini:

1. Agih-agihkan tugas. Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada tangguh ialah rasa kerja yang mahu dibuat itu terlalu sukar atau terlalu banyak. Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil. Kalau terlalu sukar, dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam dunia ni tiada sesiapa pun yang akan membantu kita tanpa diminta.

2. Buat senarai tugas atau ‘TO DO LIST’.

3. Dapatkan satu diari, nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon bimbit pun dah boleh untuk masukkan aktiviti kita. Sebenarnya, jangan bazirkan duit dengan membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang mahal-mahal. Ramai orang yang saya perhatikan, ketika semangatnya datang, mereka keluarkan duit untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.

4. Cari cara untuk ingatkan kita. Contoh: Jam loceng, komputer, digital organizer dan sebagainya.

5. Sediakan segala keperluan lebih awal. Contoh: Nak ambil pemadam, hanya kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik air dan sebagainya. Kita kena ingat, kita dibayar gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang terbaik!

6. Tiada dua orang yang serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan paling produktif. Oleh itu kenali masa produktif kita dan gunakan masa ini untuk siapkan kerja-kerja penting kita.

7. Tukar cara fikir atau ‘mindset’ kita.

8. Just do it! Jangan peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa depan kita. Percaya cakap saya, 90% daripada sangkaan-sangkaan dan kebimbangan kita itu sebenarnya tidak akan berlaku!

9. Belajar dari kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada perancangan dan jangan tunggu untuk segala-galanya sempurna sebab ketidaksempurnaan itu sememangnya sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia. Contoh: TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna. Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek. Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini tidak menunggu segalanya sempurna. Mereka mengaut keuntungan awal dan menggunakan keuntungan itu untuk melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan barangan yang lebih baik.

10. Senaman secara konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu.

11. Jaga diet atau pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran. Makan roti yang ada tertulis perkataan ‘high fibre’.

12. Rehat yang cukup - Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas solat sambung berzikir dan berwirid.

13. Mulakan sedikit, bertatih sebelum berlari. Tidak perlu untuk menghabiskan apa yang mahu dilakukan itu serentak. Manusia mudah rasa jemu dan bosan. Oleh itu, lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan aktiviti dan jangan fokus hanya kepada satu tugas semata-mata.

14. Ganjari diri sendiri setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau pekerjaan.

Sumber : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1519

0 ulasan  

Virus Maksiat!!!

Sesungguhnya seorang hamba jika melakukan dosa, maka terbentuklah noda hitam dalam hatinya. Jika ia melepaskan dosa, istighfar dan taubat, bersihlah hatinya. 

Ketika mengulangi dosa lagi, bertambahlah noda hitamnya, sehingga menguasai hati. Itulah yang disebutkan dalam Al-Qur’an. 

Untuk menghindarkan diri dari terjebak ke lembah kemaksiatan, manusia harus melakukan ketiga-tiganya, yaitu:

1. Menguatkan keimanan dan hubungan hati dengan Allah swt. dengan sentiasa mengikhlaskan segala amal perbuatan hanya karena Allah.
2. Mengendalikan rasa marah, kerana marah merupakan sumber dari kezaliman yang dilakukan oleh manusia.
3. Menahan diri dari syahwat yang menggoda manusia sehingga tidak jatuh kepada perbuatan zina dan maksiat.


Beberapa pengaruh maksiat diantaranya:

1. Lalai dan keras hati
Al-Qur’an menyebut bahawa orang-orang yang bermaksiat hatinya akan menjadi keras membatu.

“Kerana mereka melanggar janjinya, kami kutuki mereka, dan kami jadikan hati mereka keras membatu. mereka suka mengubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka Telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) sentiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), Maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ma-idah: 13)

Berkata Ibnu Mas’ud r.a., “Saya menyakini bahwa seseorang lupa pada ilmu yang sudah dikuasainya, kerana dosa yang dilakukan.”

Orang yang banyak melakukan dosa, hatinya keras, tidak sensitif, dan susah diingatkan. Itu suatu musibah yang terbesar. Bahkan disebutkan dalam sebuah riwayat bahwa orang yang sentiasa berbuat dosa, hatinya akan dikunci mati, sehingga keimanan tidak dapat masuk, dan kekufuran tidak dapat keluar.

2. Terhalang dari ilmu dari rezeki
Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan mendapat rezeki kerana dosa yang dilakukannya” (HR Ibnu Majah dan Hakim)

Berkata Imam As-Syafi’i, “Saya mengadu pada Waqi’i tentang buruknya hafalanku. Beliau menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dan memberitahuku bahwa ilmu adalah cahaya. Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada orang yang bermaksiat.”

Orang yang banyak melakukan dosa waktunya banyak dihabiskan untuk hal-hal yang kecil dan tidak berguna. Tidak untuk mencari ilmu yang bermanfaat, tidak juga untuk mendapatkan nafkah yang halal. Banyak manusia yang masuk dalam model ini. Banyak yang menghabiskan waktunya di meja judi dengan menikmati minuman haram dan disampingnya para wanita murahan yang tidak mempunyai rasa malu. Sebahagian yang lain asyik dengan hobinya. Ada yang hobi memelihara burung atau binatang peliharaan yang lain. Sebahagian lain, ada yang hobinya mengumpulkan barang antik meskipun harus mengeluarkan duit yang tak sedikit. Sebagian yang lain hobi belanja atau sibuk ulang-alik ke salon kecantikan. Seperti itulah kualiti hidup mereka.

3. Kematian hati dan kegelapan di wajah
Berkata Abdullah bin Al-Mubarak, “Saya melihat dosa-dosa itu mematikan hati dan mewariskan kehinaan bagi mereka yang melakukannya. Meninggalkan dosa-dosa menyebabkan hidupnya hati. Sebaik-baiknya bagi dirimu meninggalkannya. Bukankah yang menghancurkan agama itu tidak lain para penguasa dan ahli agama yang jahat dan para rahib.”

Sungguh suatu malapetaka yang besar jika hati seseorang itu mati disebabkan kerana dosa-dosa yang dilakukannya. Dan perangkap dosa yang dikejar oleh majoriti manusia adalah harta dan kekuasaan. Mereka mengejar harta dan kekuasaan seperti serangga masuk ke dalam unggun api.

Tanda seorang bergelumang dengan dosa terlihat di wajahnya. Wajah orang-orang yang jauh dari air wudhu dan cahaya Al-Qur’an adalah gelap tidak elok dipandang.

4. Terhalang dari penerapan hukum Allah
Penerapan hukum Allah berupa syariat Islam di muka bumi adalah rahmat dan kurnia Allah dan memberikan keberkahan bagi penduduknya. Ketika masyarakat kebanyakannya yang melakukan kemaksiatan, maka mereka akan terhalang dari rahmat Islam tersebut. (Lihat Al-Maa-idah: 49 dan Al-A’raaf: 96)

5. Hilangnya nikmat Allah dan potensi kekuatan
Di antara nikmat yang paling besar yang diberikan Allah kepada hamba-Nya adalah pertolongan dan kemenangan. Sejarah telah membuktikan bahwa pertolongan Allah dan kemenangan-Nya diberikan kepada hamba-hamba-Nya yang taat. Sebaliknya, kekalahan dan kehancuran disebabkan kerana maksiat dan ketidaktaatan.

Kisah Perang Uhud seharusnya menjadi pelajaran bagi orang-orang beriman. Ketika sebahagian pasukan perang sibuk mengejar harta rampasan dan begitu juga pasukan pemanah turun dari gunung ikut untuk memrebut harta rampasan. maka terjadilah musibah luar biasa. Korban berguguran di kalangan umat Islam. Rasulullah saw. pun berdarah-darah dan terluka.

Kisah penghancuran Kota Baghdad oleh pasukan Tartar juga terjadi kerana umat Islam bergelumang dengan kemaksiatan. Khilafah Islam pun runtuh, selain dari faktor adanya konspirasi internasional yang melibatkan Inggeris, Amerika Syarikat, dan Israel, kerana umat Islam berpecah belah dan kemaksiatan yang mereka lakukan.

Umar bin Khattab berwasiat ketika melepaskan tenteranya berperang: ”Dosa yang dilakukan tentara (Islam) lebih aku takuti dari musuh mereka. Sesungguhnya umat Islam dimenangkan karena maksiat musuh mereka kepada Allah. Kalau tidak demikian kita tidak mempunyai kekuatan, kerana jumlah kita tidak sepadan dengan jumlah mereka, kelengkapan kita tidaklah dapat manandingi dengan kelengkapan mereka. Jika kita sama dalam berbuat maksiat, maka mereka lebih memiliki kekuatan. Jika kita tidak dimenangkan dengan keutamaan kita, maka kita tidak dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan kita.”

Oleh kerana itu umat Islam dan para pemimpinnya harus berhati-hati dari terjebak dengan cinta dunia dan cita-cita kekuasaan. Jauhi segala harta yang meragukan apalagi yang jelas haramnya. Kerana harta yang syubhat dan meragukan, tidak akan membawa keberkahan dan akan menimbulkan perpecahan serta fitnah. Kemaksiatan yang dilakukan oleh individu, keluarga, dan masyarakat akan menimbulkan hilangnya nikmat yang telah diraih dan akan diraih. Dan melemahkan segala potensi kekuatan. Waspadalah!

0 ulasan  

Tujuh Golongan Yang Berteduh Di Bawah Arasy Allah

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللُه فِىْ ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ اِلاَّ ظِلُّهُ : اَلإِمَامُ الْعَادِلُ , وَشَابٌ نَشَأَ فِىْ عِبَادَةِ رَبِّهِ , وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِىْ الْمَسَاجِدِ , وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِىْ اللِه اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ,وَرَجُلٌ طَلَبَتْهٌ امْرَأَةٌ ذَاتَ مَنْصَبٍ وََ جَمَالٍ فَقَالَ إِنِّىْ اَخَافُ اللهَ , وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ , وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Bermaksud :
ِAda tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah dengan lindungannya pada hari tiada lindungan lain kecuali lindungannya sahaja iaitu :-

Pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua lelaki yang berkasih sayang hanya kerana Allah bertemu dan berpisah hanya keranaNya, seorang lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi lelaki iti menolak dengan berkata sesungguhnya aku takutkan Allah, seorang lelaki yang merahsiakan sedekahnya sehingga tidak diketahui oleh orang lain dan seorang lelaki yang duduk menyendiri munajat kepada Allah lalu mengalirkan air matanya.

Daripada hadith di atas tujuh golongan antara yang terbanyak diuji ketahanan daya juang mempertahankan komitmennya terhadap agama dalam kehidupannya itu ialah :

Golongan pertama - Pemimpin .
Setiap pemimpin mestilah sedar bahawa dirinya sedang diuji oleh Allah. Pandangan umum menyatakan apabila seseorang sudah mencapai tahap kepimpinan dia akan mengecapi segala kemudahan dan kenikmatan. Namun jika dirinya sendiri tidak dipimpin oleh pimpinan iman maka corak kepimpinannya yang tidak amanah, rasuah dan menggunakan apa sahaja cara untuk kekal memimpin akan memusnahkan dirnya sendiri. Mungkin dia akan merasa sedikit kenikmatan ketika menjadi pemimpin tetapi apabila kenikmatan yang sedikit itu dinikmati dengan cara yang salah maka kesengsaraan diakhirat akan melupuskan sama sekali kecapan nikmat di dunia dahulu.

Golongan kedua - Pemuda yang membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah .
Seorang pemuda sentiasa diuji ketahanan imannya menghadapi cabaran zamannya. Segala kenikmatan boleh diraih dengan mudah kerana ia sudah berada di hadapan mata. Memang diakui bahawa amat payah untuk seorang pemuda komited dengan landasan hidup beragama kecuali dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Golongan ketiga - Seorang lelaki yang hatinya sudah terpaut dengan masjid.
Manusia boleh menikmati kenikmatan sementara apabila ia berada di bangunan-bangunan lain selain dari masjid seperti panggung wayang, pusat-pusat membeli belah, pusat-pusat permainan video dan lain-lain tempat. Tetapi pakej kenikmatan yang ditawarkan oleh masjid adalah lebih kekal dan menarik.

Golongan keempat - Dua orang lelaki yang membina persahabatannya kerana Allah .
Kebanyakan orang merasa kenikmatan bersahabat dikecapi dengan memperolehi kepentingan–kepentingan tertentu. Oleh itu kita mendapati kadang-kadang demi menjaga tali persahabatan yang terselindung di sebaliknya kepentingan lain, sahabat yang terus bergelumang dengan maksiat dan dosa dibiarkan begitu sahaja .Ada kalanya timbul keadaan dulu kawan sekarang lawan disebabkan kepentingan dirinya telah diraih setelah memerahnya dari sahabatnya. Persahabatan kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah.

Golongan kelima - Seorang lelaki yang berjaya mempertahankan imannya walaupun ia digoda oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan rupa paras muka yang menawan.
Andainya lelaki berkenaan menuruti kehendak wanita berkenaan, maka ia akan mengecapi nikmat tetapi hanya beberapa ketika sahaja berbanding ia akan menghadapi balasan getir dari Allah SWT di akhirat kelak. Mudah-mudahan kita terselamat dari bentuk godaan seperti ini.

Golongan keenam - Seorang lelaki yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tidak diketahui oleh orang lain.
Ada kalanya manusia yang tipis imannya cuba meraih kemasyhuran dengan berderma dan merasa amat selesa jika dermanya itu berhasil dengan dirinya digelar dermawan oleh masyarakat. Maka ia merasa itu satu nikmat tetapi hakikatnya ia adalah nikmat sementara kerana ia bakal menghadapi sengsara yang berkekalan di akhirat nanti.

Golongan ketujuh - Seorang lelaki yang bersendirian bermunajat kepada ALLah SWT lalu mengalirkan air matanya penuh penyesalan dan akur kekerdilannya di hadapan Allah.
Amat sukar untuk mencari individu seperti orang berkenaan disebabkan selalunya apabila seseorang itu bersendirian maka serta merta ia akan dikunjungi dengan fikiran-fikiran yang buruk, hasad dengkinya akan mula meluap semula, balas dendamnya akan berputik semula, fikirannya akan menjelajah ke daerah-daerah yang diharamkan Allah dan sebagainya.Bagi seorang mukmin hubungannya yang rapat dengan Allah akan membawa kenikmatan yang hakiki baginya.

Mudah-mudahan Allah akan kekalkan kita dalam perjuangan menegakkan dan mengekalkan iman dalam diri, keluarga dan masyarakat serta kita diberi kesedaran bahawa kita sedang diuji iman kita.

0 ulasan  

Halaman Utama !