Syaitan masih berkeliaran di bulan Ramadhan?

Dari Abi Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda, maksudnya: ‘Apabila masuknya malam pertama dari bulan Ramadhan, syaitan dan jin yang ganas dibelenggu. Pintu neraka ditutup, Tidak dibuka satupun darinya. Pintu syurga dibuka. Tidak satupun darinya ditutup.

Ada satu seruan: ‘Wahai orang yang mencari kebaikan! Berhadaplah ke mari. Wahai orang yang mencari kejahatan! Henti hentilah (perkara jahat kamu itu). Bagi Allah itu ada hamba-hamba yang dimerdekakan. Demikian itu pada setiap malam.’ Riwayat at-Tirmizi

Ringkasan:

Imam Nawawi menyebut jin syaitan ini dibelenggu kerana menghalang mereka dari menyakiti orang mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Belenggu itu boleh jadi hakiki (sebenar) atau majazi (simbolik).

Al-Qadhi Iyadh menyebut: Boleh jadi Allah membelenggukan syaitan itu dengan rantai dan belenggu dengan sebenarnya, bukan ia majazi atau secara simbolik sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyakiti mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Boleh jadi juga ia adalah simbolik. Allah jadikan mereka itu lemah dari menipu-daya mukmin dalam bulan puasa ini hingga jadi kuranglah tipu-dayanya. Maka jadilah mereka itu seolah-olah dibelenggu. Belenggu juga dengan makna mereka tidak dapat menipu sebahagian mukmin dan sebahagiannya dapat ditipunya. Sebahagian perkara dapat ditipu dan sebahagiannya tidak. Ini semua bermaksud membesarkan bulan Ramadhan itu.

Berkenaan pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka, Imam Nawawi menyebut bahawa ia boleh jadi hakiki atau majazi juga. Ertinya apabila masuk bulan puasa itu, Allah buka jalan taat yang banyak kepada hambaNya, yang tidak ada di bulan selain Ramadhan seperti berpuasa, berjaga malam dan pelbagai kebajikan yang lain. Maka itulah yang menjadikan sebab masuk syurga dan seolah-olah itulah pintunya.

Berkenaan seruan itu pula, ia tidak didengari oleh manusia. Namun Allah tidak membiarkan begitu sahaja. Allah memberitahu Nabinya tentang seruan tersebut. Diwakilkan kepada Malaikat menyeru pada setiap malam puasa memanggil hamba-hambaNya untuk berbuat taat dan menjauhkan maksiat.

Allah memerdekakan hambaNya dari neraka dengan sebab ketaatan yang dibuat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab mengesakan Allah. Ada yang dimerdekakan dengan sebab solat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab puasa. Pemerdekaan dalam bulan puasa ialah dengan sebab pahala puasa dan berkatnya.

(Ringkasan Bahr al-Mazi j3 ms 3-6)

0 ulasan  

Darihal puasa, iman dan ketaqwaan

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43.
"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.
Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.
Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.
Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.
Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)
Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

"Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat).." (Al-Hasyr: 18)
Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)
Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.
Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.
Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.
Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.
Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

0 ulasan  

Nisfu Sya'ban

Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).

Di negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari dahulu lagi.

Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan sebagainya.

Ada fatwa ulamak kontemporari yang mengatakan perbuatan ini tiada asal dan bid'ah lagi haram. Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut

Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil.

Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:

* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

Sedikit tambahan lagi:

Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.

Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.

Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.

Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.

Wallahu A'lam
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Syed Abd Kadir Al-Joofre

Sumber : http://www.infokpt.com/

0 ulasan  

Halaman Utama !